Saturday, 6 July 2013

State of critical confusion

Written by UT: 14 Oct 2011




CUBA selami diri sendiri, lihat dan teliti terhadap setiap perkara yang tidak kena dengan diri kita. Jangan fikir diri sudah cukup waras untuk melihat atau menilai sesuatu menggunakan kecenderungan akal yang sihat dan tajam. Lihat apa yang tidak kena dengan diri kita sendiri.

Apa sebenarnya yang kita mahu kalau semua perkara dilihat serba tidak kena pada pandangan kita sendiri? Kamu suruh orang itu ikut cara kamu, kemudian orang itu pun ikut, malangnya kamu lihat masih ada yang tidak kena walaupun orang itu sudah buat apa yang kamu suruh. Bagi kamu, apa saja yang orang itu buat memang akan jadi serba tak kena.

Kamu suruh orang lain berlapang dada seperti kamu. Kamu suruh orang lain tidak berburuk sangka terhadap orang lain melainkan hanya berbaik sangka seperti yang kamu sedang kempen menjadikan diri kamu sebagai contoh untuk diikuti orang lain. Malangnya, kamu sendiri berburuk sangka terhadap orang lain dengan menganggap orang lain itu semua serba tidak kena dalam setiap pekerjaannya.

Orang lain yang tidak kena atau memang ada sesuatu yang tidak kena dengan diri kamu itu? Ada sesuatu yang tidak kena dengan diri kamu itu wahai insan, sedarlah. Kamu sendiri sebenarnya ada yang tidak kena kerana asyik menuduh orang lain serba tidak kena. Apa yang tidak kena dengan diri kamu wahai insan? Apa yang kamu mahu sebenarnya sehingga semua orang kamu anggap serba tidak kena?

Ini satu penyakit yang melanda orang kita. Penyakit serba tak kena. Melihat semua perkara sebagai tak kena (tidak betul). Melihat orang lain sebagai serba tak kena. Orang lain semua dilihat sebagai salah atau pesalah, setiap yang dibuat orang lain dilihat sebagai tak kena. Bagi orang ada penyakit hati seperti itu, hanya dia dan puak-puak yang sealiran dengan pemikirannya sahaja yang serba betul.

Apakah aliran pemikirannya itu wahai tuan-tuan dan puan-puan semua? Aliran pemikiran yang berserabut, keliru dan kematu akal. Dialah sebenarnya yang tidak kena, dialah sebenarnya yang ada something wrong pada tingkat kewarasannya. Pemikiran bercelaru yang dikematukan dan dibantutkan oleh penyakit prejudis dan paranoia ringan.

Saya tidak mahu bercakap mengenai orang lain atau bangsa lain. Saya hanya mahu bercakap mengenai masalah penyakit ini yang sudah lama berkematu dalam pemikiran orang-orang kita iaitu Melayu kerana saya mahu orang Melayu dapat berfikir dengan sihat dan adil dalam pemikirannya.

Orang yang berpenyakit hati seperti itu biasanya tidak boleh lihat orang-orang yang tidak sealiran dengannya (dalam perenggan seterusnya, kita istilahkan orang yang tidak sealiran dengan puak ini sebagai musuh dalam konteks artikel ini) duduk senang. Semua perkara yang diperbuat oleh musuh mereka itu mahu di-protes sederas-derasnya meskipun yang dibuat oleh musuh mereka itu adalah betul walaupun kurang tepat.

Seboleh-bolehnya semua perkara mahu di-protes dan dikatakan sebagai tidak kena atau tidak betul. Walhal, orang yang ada penyakit serba tak kena itu hanya tahu memprotes tetapi gagal tampil dengan idea yang lebih bernas dan lebih tepat. Hanya mulut mereka yang tahu memprotes sehingga bersembur air liur keluar memuntahkan rasa ihsan dan mencemari lantai insan. Hakikatnya, tidak berani tampil berdiri dengan pendapat yang dikatakan lebih bagus daripada pendapat sang musuh atau seteru mereka itu.

Kamu suruh orang lain berlapang dada, sedangkan dada kamu sendiri yang tidak pernah dilapangkan. Kamu suruh orang berbaik sangka sesama insan sedangkan hati kamu sendiri yang dipenuhi penyakit buruk sangka, memang ada yang tidak kena dengan diri kamu. Memang ada. Jangan tipu.

Apa masalah sebenarnya?
---

Twisted Mind: Dikelirukan oleh kekeliruan sendiri

KELIRU. Itu antara masalah yang melanda pemikiran orang berpenyakit serba tak kena. Selain keliru, ada lagi masalah lain iaitu syok sendiri yang mana orang lain semua tak betul dan hanya dia dan puak-puak dia sahaja yang betul. Apa punca semua itu berlaku dalam tingkat pemikiran sebilangan daripada kita?

Punca-punca itu sudah diterangkan dalam artikel-artikel Mind Game sebelum ini iaitu gagal meneliti banyak sumber yang ada kredibiliti, gagal memahami isu sebenar, pemikiran lemah yang kerap dialihkan dengan mudah oleh taktik sang red herring (red herring itu merujuk kepada individu yang perbuatannya mengalihkan perhatian orang lain terhadap sesuatu isu, bukan merujuk kepada perbuatan mengalih isu yang dilakukan oleh individu itu), gagal merenung tajam terhadap isu sebenar sehingga fokus mudah dialihkan, gagal memahami keterangan realistik melebihi keterangan polemik dan gagal berlaku adil dalam membuat pertimbangan. Semua berpunca kerana gagal.

Lebih teruk ialah taksub terhadap kefahaman sendiri dengan menyingkirkan semua pendapat orang lain andai tidak selari dengan aliran pemikiran sendiri. Dalam konteks itu, di manakah istilah berlapang dada, berbaik sangka dan berlaku adil seperti yang diperkatakan oleh orang yang ada masalah penyakit serba tak kena itu? Itulah yang tidak kena dengan orang seperti itu. Banyak masalah di kalangan orang seperti itu yang juga ada masalah cakap tak serupa bikin. Banyak sungguh masalah orang seperti itu. Memang dialah sebenarnya yang serba tidak kena.

Masalah kekeliruan itu tidak akan tercetus sekiranya seseorang itu memulakan langkah mengambil kira semua pertimbangan yang datang daripada pelbagai arah yang berbeza dengan mematuhi kaedah berfikir yang betul. Jadi, apakah pula kaedah berfikir yang betul? Kaedah berfikir yang betul dalam konteks ini ialah berfikir menggunakan akal yang waras dan diterangi hati yang bersih serta adil tanpa memberatkan mana-mana pihak meskipun pendapat itu pada awalnya tidak sekata sehingga wujud pembuktian yang kukuh serta konkrit dalam membantu proses membuat pertimbangan itu berjalan dengan waras (sihat) dan adil tanpa menganiaya atau menfitnah mana-mana pihak.

Elemen akal yang waras, ambil kira semua arah, hati yang bersih dan adil, pembuktian konkrit, tidak menganiaya serta tidak menfitnah – itu wajar ada dalam proses berfikir untuk mengelak seseorang itu disengsarakan oleh penyakit serba tak kena.

Jika dirasakan ada sesuatu yang tidak kena, mesti ada penjelasan untuk membuktikan memang ada yang tidak kena. Penjelasan itu pula biasanya datang dari pelbagai arah dan pelbagai cara untuk membuktikan ia bukan fitnah. Kemudian, menjadi tanggungjawab kita sendiri menggunakan hati yang bersih untuk menilai dengan seadil-adilnya meskipun kebenaran itu tidak memihak kepada kita. Kegagalan menggunakan hati yang bersih itu juga adalah punca seseorang itu berkematu hati disebabkan penyakit serba tak kena.

Namun, andai sesuatu yang tidak kena itu gagal dijelaskan dengan keterangan pembuktian yang konkrit dan waras dalam apa jua arah, maka ia memang ada yang tidak kena. Jika berjaya dibuktikan sesuatu yang tidak kena itu, maka seseorang itu mungkin terselamat daripada penyakit serba tak kena kerana berjaya membuktikan sesuatu yang tidak kena itu.

Mari kita belajar daripada kisah kaum Nabi Musa dari kalangan Bani Israel. Kaum Nabi Musa kerap meminta baginda berdoa kepada Allah supaya ditunjukkan segala kebenaran yang konkrit di depan mata kepala mereka sehingga Allah perkenan doa Nabi Musa dengan menurunkan Manna dan Salwa dari langit sebagai santapan istimewa kepada Bani Israel. Namun, Bani Israel dengan hati yang tidak bersih tetap merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan kekal dengan mendustakan segala kebenaran yang telah ditunjukkan. Memang ada yang tidak kena dengan Bani Israel itu sehingga gagal berfikir menggunakan akal yang sihat meskipun telah diturunkan bukti.

Janganlah menjadi seperti kaum Bani Israel yang membutakan hati daripada membuat pertimbangan yang waras. Tidak wajar juga beranggapan semua orang tidak kena atau tidak betul andai perbuatan mereka itu disifatkan sebagai tidak selari dengan kehendak kita sedangkan perbuatan itu tidak dimuktamadkan salah oleh hukum agama.

Jangan pula menyuruh orang lain berlapang dada sedangkan dada sendiri dalam keadaan sesak dengan persepsi buruk sangka terhadap orang lain. Kita boleh menipu orang lain dalam menyatakan niat hati kita yang dikatakan lebih bersih daripada orang lain, namun kita tidak akan pernah berdaya untuk menipu Allah dalam hal membuktikan kesucian hati nurani kita.

Kamu yang sebenarnya penakut untuk tampil berdiri dengan pendirian yang kukuh dalam menyatakan haq dan tanpa usul periksa melalui pelbagai keterangan dari semua arah dengan otak kosong megahnya berkata:

“Orang itu tak betul, orang ini tak betul.. itu salah, ini salah..bla..bla..bla..”

Jangan pula pada hari hisab di hadapan Allah nanti kita dilemparkan dengan soalan yang maksudnya barangkali seperti: “Tiadakah kamu bermuhasabah diri dan tiadakah kamu berusaha mencari yang halal (kebenaran) ketika kamu dikurniakan akal?”


Do not get twisted by your own state of [critical] mind [confusion]


- CLOVER -


---------------------------------------------------------------------------------------------

1 comment:

Anonymous14 October 2011 23:03
Hmmm.Sy sudah hampir menemui jawapan kenapa berlakunya semua ini..
Satu sahaja sbbnya ttp berangkai kesannya..
Manusia telah memilih utk meninggalkan peringatan Allah dan mereka sendiri menerima kesan dari pilihan mereka itu..
Jawapan itu mungkin dianggap mudah ttp sebahagiannya merasakan ianya rumit ttp pd sy ianya adalah sebuah kecelaruan terancang..
Mind game atau apapun akan hanya berkesan apabila pola pemikiran tertentu disetkan kpd manusia dlm kadar yg sgt lama tanpa disedari..
Disinilah Falsafah memainkan peranan krn kita mengambil Falsafah Moden dari barat utk menjana pembangunan negara supaya produktif ttp sebenarnya ia membawa kesan yg jauh lbh buruk dari apa yg kita sangkakan..
Apabila kita terlalu memikirkan potensi manusia,dgn modal insannyalah,bestarinya lah,atau apa jua yg melibatkan main power,kita(sebenarnya dunia pun dh mengikut sama)teralu gemar mengambil model yg telah tersedia (Dari Barat) tanpa kita peduli ianya sesuai atau tidak kpd fitrah kita org2 Islam..
Fenomena yg kita lalui ini adalah kesan dari gerakan Humanism yg lbh mementingkan perkembangan potensi manusia semata-mata tanpa ada hubungan dgn yg maha pencipta..
Mungkin bunyinya agak keterlaluan ttp sy dpt menjelaskannya..
Contohnya Falsafah pendidikan negara,Model yg diambil utk menjayakan Falsafah ini semuanya diambil dari Sarjana2 barat..Critical Thingking,12 inteligensences,Future Research dll modul yg diguna,semuanya hanya berkait tentang bagaimana meningkatkan potensi manusia..
Bunyinya sgt lunak ttp yg tiada langsung dlm Model2 ini adalah Tauhid kpd Allah krn Keyakinan yg cuba dihidupkan dlm Model2 ini hanyalah terhadap diri sendiri,kebolehan memahami persekitaran tanpa ada hubungan langsung pun dgn Allah..Ini yg terjadi sebenarnya..
Bayangkan Guru2 diberi penekanan utk mengembangkan kaedah dari Modul2 seperti ini utk sebenarnya membangkitkan Cara Berfikir berlandaskan gerakan Humanism,cara pemikiran Zaman Renaissence,Zaman Gothic dan segala Era yg pernah dilalui oleh masyarakat barat lalu diberi dan disumbat ke dalam minda pelajar2 kita melalui aktiviti2 dlm modul pengajaran mereka..
Sebab itu pelajar mengalami kecelaruan dlm bertindak,desakan atas Egosentric yg menyebabkan mereka merasa tindakan2 mereka betul wlwpun ianya menindas rakan2 lain krn mereka diajar berfikir berdasarkan kepentingan diri sendiri kesan dari tabiat berfikir yg hanya mementingkan pencapaian diri yg disemaikan disekolah2..
Pentadbir pula lebih mahukan pengiktirafan lalu membuat program2 Galakkan kpd meningkatkan potensi pelajar yg sebenarnya memberi Booster kpd benih2 Humanism ini berakar dlm fikiran pelajar2..
Kita cuai tentang latar belakang golongan Sarjana Barat yg menduduki pertubuhan2 Pendidikan Antarabangsa dan motif terselindung mereka..
Sudah puluhan tahun sejak merdeka manusia di Malaysia ini disumbat dgn tabiat berfikir induvidualistic ini dan kecelaruan itu semakin teserlah krn pemikiran metarial ini berada dimana2 Organisasi diseluruh negara merangkumi semua bidang yg melibatkan guna tenaga manusia krn cara bekerja mereka itu pun mengikut Model2 yg sama sebenarnya..Jika cara perlaksanaannya berbeza pun matlamatnya tetap sama..
Maka sebab itu kita melihat kecelaruan demi kecelaruan ini berlaku kpd sesiapa pun tidak kira apa kedudukan mereka dlm Organisasi atau masyarakat..
Sebenarnya kita sedang menuju kpd Matlamat sebenar Gerakan Humanism iaitu kepada melahirkan kelompok yg ingin bebas dari agama..
Lidah kita akan sekeras-kerasnya menafikannya ttp lihat tindak tanduk kita,cara bertindak,cara menilai,semuanya kini semakin longgar dari kawalan lalu menjadi celaru..
Sebabnya kita seinci demi seinci sudah menjauhkan diri dari agama..
Inilah yg dikatakan fenomena yg dikatakan oleh Rasulullah s.a.w bahawa umatnya akan melalui garis masa yg mana berlakunya Fitnah sehinggakan org2 beriman sekalipun akan menjadi bingung memikirkannya...
Allahu a'lam..

Reply



No comments:

Post a Comment