Saturday, 6 July 2013

Nota STALKER: Perintah yang kita lalai untuk patuhi

Written by UT: 23 Mar 2012





SEMASA saya masih bersekolah, masih belum pandai berdikari dan masih dijaga keluarga, saya dan abang-abang saya selalu bersolat jemaah yang diimankan oleh arwah bapa saya. Manakala dua kakak saya pula menjadi makmum di belakang yang sebaris dengan ibu saya, iaitu di belakang saff pertama yang membariskan saya dan abang-abang saya.


Dalam solat berjemaah itu, arwah bapa saya selalu berpesan supaya merapatkan dan meluruskan saff sebelum dia membaca niat dan melafazkan takbir membuka solat. Dia tidak akan memulakan niat solat selagi saff kami tidak disempurnakan dengan betul.


Arwah bapa saya akan pastikan arah jari-jari kaki kami lurus ke hadapan menghadap kiblat sebagaimana lurusnya arah jari kaki menghadap ke hadapan semasa berjalan.


Bukan senget seperti orang yang kengkang semasa berjalan, kalau kengkang semasa berjalan maka pincanglah gaya berjalan, seperti itulah dia umpamakan kalau arah jari kaki tidak diluruskan menghadap kiblat dalam saff.


Kalau jari kaki senget, ia sudah tidak menghadap kiblat kerana garis lurus dari hujung jari itu tidak lagi betul-betul menghadap kiblat dengan tepat.


Sisi kaki kiri dan kaki kanan kami akan dia pastikan supaya saling bersentuhan, dia akan pastikan supaya tiada jarak yang memisahkan. Kalau arah jari kaki dipastikan lurus, maka barulah dapat dipastikan setiap sisi kaki kami saling bersentuhan. Jika arah jari kaki tidak lurus atau senget, sudah pasti sisi kaki kiri dan kaki kanan kami tidak dapat dirapatkan.


Bahu-bahu kami, juga dia suruh rapatkan supaya tiada ruang yang memisahkan. Selepas semua dipastikan lurus dan rapat, dia berkata dengan terang lagi tegas: “Itu barulah meluruskan saff dan merapatkan saff.” Masih segar di dalam memori walaupun sudah lebih 12 tahun bapa telah meninggalkan kami untuk bertemu Penciptanya.


Setiap kali ahli keluarga kami pulang ke kampung asal untuk bertemu dan berkumpul, kami juga akan mengumpulkan saudara-saudara kami dari kalangan sepupu terdekat yang rumah asal mereka berhampiran dengan kampung kami. Ketika itu, kalau kami berjemaah, saff itu akan dipastikan lurus dan rapat. Hubungan keluarga tidak pernah renggang, ia kekal rapat dan akrab sepertimana rapatnya saff itu.


Hari ini, Jumaat, saya tiba-tiba ‘rindu’ kepada saff yang rapat seperti itu.


Selepas habis khutbah Jumaat, saya bangun mencari tempat yang paling hadapan sekadar saya mampu kerana barisan yang lebih hadapan telah penuh. Semasa mencari tempat, kebetulan saya lihat ada dua lelaki berdiri dengan arah jari kaki yang lurus, manakala kebanyakan yang lain pula berdiri dengan arah jari kaki yang senget.


Saya gembira sebentar kerana itulah tempat yang saya pilih kerana melihat kaki mereka lurus dan pergi duduk di tengah-tengah antara dua lelaki itu. Saya sedikit terlambat untuk membaca niat kerana imam telah pun membuka solat dengan melafazkan takbir.


Saya membetulkan dan meluruskan kaki, merapatkan sisi kedua-dua kaki dengan kaki mereka. Bahu pula tidak dapat saya rapatkan kerana jaraknya jauh, tidak dapat saya minta mereka berdiri rapat sedikit dengan saya kerana mereka sudah mengangkat takbir, maka saya kembangkan bukaan kaki supaya rapat dengan kaki mereka dan kembangkan bukaan siku supaya kedua-dua siku saya menyentuh lengan mereka. Saya kemudian membaca niat dan melafazkan takbir. Di situ, saya insaf kerana terlambat untuk menyempurnakan saff dengan mereka, tapi saya cuba juga untuk rapatkan.


Doa iftitah kemudian dibaca, belum habis dibaca, kemudian saya sebak, seperti mahu menangis. Bukan disebabkan gembira kerana saya berpeluang berdiri dalam saff seperti yang saya rindu selama ini, bukan kerana itu yang buat saya rasa sebak.


Rasa sebak itu terlahir apabila kedua-dua makmum di kiri dan kanan saya itu menjauhkan sisi kaki mereka dengan sisi kaki saya. Mereka menjauhkan sisi kaki mereka sedikit demi sedikit. Semakin sisi kaki saya dijauhi oleh sisi kaki mereka, semakin sebak dan bergenang air mata namun tidak tumpah ke lantai permaidani masjid.


Tetapi saya tetap pastikan hujung siku saya sentiasa menyentuh lengan mereka yang sedang qiam sehingga imam selesai memberi salam. Saya tidak mahu melayan rasa sebak itu ketika sedang bersolat. Perasaan ketika itu hanyalah mahu bersolat kerana Allah.


---


Selepas selesai solat Jumaat, barulah saya berfikir. Mengapa orang Melayu yang beragama Islam tidak mampu memahami perintah Allah dan Rasul-Nya, kemudian berpecah belah. Apabila saff mahu dirapatkan, mereka memilih untuk menjauhkan. Mungkin mereka rasa geli geleman kerana kulit sesama lelaki bersentuhan walaupun sentuhan itu hanya untuk merapatkan saff sesama jemaah solat.


Saya rindu kepada saff seperti itu. Saff seperti itulah yang membuatkan saya dan kaum keluarga saya tidak pernah bergaduh atau berpecah meskipun kadang kala dihimpit salah faham yang sememangnya lumrah.


Begitu juga dengan rakan-rakan keluarga saya yang pernah berjemaah bersama ketika kami semua masih bersekolah dan tinggal bersama ibu bapa kami. Mereka juga tidak pernah berasa renggang dengan keluarga kami kerana dapat merasai dan menghayati nikmat saff itu. Nikmat saff yang menyatukan hati dan jiwa sehingga dapat menghayati persaudaraan walaupun mereka itu bukan saudara kandung kami.


Andai saff diluruskan dan dirapatkan, hati kita akan lebih mudah disatukan. Timbul rasa kasih sesama umat, timbul rasa mahu ‘menjaga’ sesama umat, timbul rasa mahu sama-sama menjaga hubungan sesama umat. Hubungan sesama umat menjadi rapat, tidak renggang walau satu milimeter.


Andai ada yang bertelagah sesama umat, akan lebih mudah untuk mendamaikan kerana saff yang rapat itulah salah satunya yang akan mendamaikan. Saya tidak mampu untuk menyusun perkataan saya kali ini, saya tidak mampu untuk memilih perkataan yang sesuai untuk kali ini.


Apakah perintah yang kita gagal patuhi?


“Adalah Nabi SAW apabila telah berdiri di tempatnya untuk solat, tidaklah terus baginda bertakbir, sebelum melihat ke kanan dan ke kiri menyuruh makmum merapatkan bahu mereka (di dalam saff) dan bersabda: Janganlah kamu maju (menghadap kiblat) dengan mundur (tidak lurus), yang menyebabkan mundurnya jiwa-jiwa kamu.” - (Hadis riwayat Imam Ahmad)


Allah memerintahkan supaya kita mentaati Rasul-Nya. Ingkar perintah Rasul juga bererti kita ingkar perintah-Nya.


Saya hanya mahu minta para pembaca blog ini memahami maksud saya dalam menghayati pengertian merapatkan dan meluruskan saff walaupun tidak mampu untuk saya ungkapkan semua perkataan yang sesuai buat kali ini.


Kepada kedua-dua saudara sesama umat yang menjauhkan kaki mereka dengan kaki saya di masjid tadi, sayalah orang yang berkopiah hitam itu yang tidak berasa geli geleman untuk merapatkan kulit saya dengan kulit kamu meskipun saya sedar bahawa kamu mahu menjauhkan kaki kamu daripada kaki saya yang sedang berada dalam satu saff dengan kamu. Saya mahu merapatkan saff, tetapi kamu memilih untuk sekadar berbaris. Saya tidak marah kedua-dua mereka.


Berbaris dalam solat tidak sesempurna maksudnya dengan pengertian saff.






Saya tidak mahu menulis panjang untuk kali ini, cukuplah saya berhenti di baris ayat ini.










-STALKER-




No comments:

Post a Comment