Saturday, 6 July 2013

MASALAH?

Written by UT: 7 Sep 2011


DALAM keghairahan mengejar objektif berbentuk material dan kuasa, ramai perlahan-lahan berubah menjadi semakin leka dan alpa serta lupa. Menjadi alpa semasa gigih berusaha menyelesaikan masalah masing-masing, menjadi leka mengejar cita-cita sendiri, menjadi lupa kepada objektif sebenar (prime objective) yang mengatasi segala objektif-objektif minor yang lain. Mesti ada sebab yang menyumbang kepada perubahan kita menjadi lupa dan alpa. Mesti ada sebab. Mesti.

Katakan, kita dihujani masalah, kemudian berusaha menyelesaikan masalah-masalah itu. Mahu atau tidak mahu, masalah itu perlu diselesaikan dan jika tidak segera diselesaikan, fikiran kita akan terus bercelaru. Masalah itu mungkin melibatkan bayaran ansuran kereta, rumah, pinjaman bank dan sebagainya yang terdiri daripada angka-angka yang mewakili urusan jual beli. Angka-angka itu pula semakin menyesakkan dan perlu diselesaikan setiap bulan selama bertahun-tahun dan berpuluh-puluh tahun.

Fikiran hanya tertumpu kepada seribu satu cara untuk menyelesaikan masalah yang tidak pernah selesai walaupun diselesaikan setiap bulan. Dalam masa yang sama, setiap orang pula menetapkan objektif masing-masing dalam kehidupan seharian. Objektif itu pula perlu difikirkan untuk memastikan ia tercapai dengan beberapa cara yang difikirkan sesuai. Sekali lagi akal fikiran bekerja untuk membantu kita mencapai objektif pencapaian dalam kehidupan selain objektif kewangan. Akal menjadi semakin penat bekerja.

Apabila fikiran hanya berperanan memikirkan kepada masalah-masalah dan objektif-objektif dalam kehidupan, ia lama kelamaan bertukar menjadi suatu fokus. Fikiran dipusatkan kepada satu arah yang memerlukan kita mencapai setiap perkara yang perlu segera diselesaikan. Hampir setiap masa, fikiran akan mengira wang, jumlah hutang, objektif hidup, apa mahu makan hari ini dan sebagainya. Hanya itu yang difikirkan. Semua itu mesti ada sebab. Mesti.

Ligat memikirkan wang yang tidak cukup untuk mengisi petrol atau diesel kenderaan, ligat lagi memikirkan barang-barang dapur yang semakin berkurangan ketika tiba pertengahan bulan, terus ligat memikirkan bayaran hutang pinjaman yang tertunggak, bil telefon, ligat memikirkan kos hidup yang sentiasa meningkat akibat kedunguan kerajaan mengatur strategi bagi membantu memantapkan ekonomi isi rumah.

Para lepasan universiti pula ligat memikirkan ‘hutang yang automatik tercipta’ sebaik sahaja menamatkan pengajian dengan bantuan pinjaman PTPTN yang mencekik darah. Golongan yang sama juga ligat memikirkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan yang ‘setimpal’ dengan pengajian tinggi semasa di universiti, berfikir dan berfikir kenapa masih menganggur dan hanya mampu bekerja sambilan dengan gaji kecil yang tidak mampu membeli apa sahaja barangan dalam kategori mewah seperti rakan-rakan mereka yang lain. Berfikir dan terus berfikir.

Kumpulan peniaga yang berniat mahu memperbesarkan perniagaan pula ligat berfikir untuk mendapatkan tambahan modal selepas gagal mendapat pinjaman daripada bank-bank perdagangan. Ada yang ambil keputusan membuat pinjaman daripada ceti-ceti haram dan akhirnya terhimpit dengan pelbagai ancaman selepas gagal menyelesaikan kadar bunga yang semakin menggunung. Berfikir ligat untuk menyelesaikan masalah hutang ahlong walaupun niat itu baik untuk jihad memakmurkan ekonomi keluarga dengan menceburi perniagaan, terhimpit dan terhimpit, berfikir dan terus berfikir. Semua itu mesti ada sebab. Mesti.

Ada pula yang ligat berfikir apa lagi cara untuk menyelesaikan hutang kad kredit dan ada pula yang terpaksa menggadai tanah hanya untuk melangsai hutang kad kredit bank-bank komersial. Jika tidak diselesaikan segera, akan berdepan dengan pengisytiharan muflis. Ligat berfikir, adakah akan muflis hanya semata-mata kerana hutang kad kredit yang pada asalnya hanya $5,000 dan beranak pinak menjadi puluhan ribu ringgit, dolar, jutaan rupiah, atau apa-apa gandaan hutang dalam apa-apa mata wang sekalipun akibat faedah atau bunga kad kredit yang memeritkan. Orang-orang kita ligat berfikir mengenai masalah-masalah yang melanda diri mereka dalam urusan seharian. Semua itu sungguh memenatkan.

Ada yang sanggup mencuri kerana tekanan hidup untuk menyelesaikan masalah wang, ada yang menipu, ada yang menjual dadah, ada yang menjual harga diri dan banyak lagi perkara-perkara salah yang dilakukan hanya semata-mata untuk menyelesaikan masalah yang menghimpit diri. Semua itu mesti ada sebab mengapa ia berlaku.

Setiap masalah yang melanda, mesti ada sebab-sebabnya. Apakah sebab-sebab itu wahai saudara-saudara. Adakah sebab semua barang di dunia ini perlukan wang? Adakah sebab kita hanya perlu berhutang barulah kita boleh hidup seperti orang lain? Adakah sebab kita perlu hidup bergaya walaupun terpaksa dibebani hutang hingga akhirnya papa kedana? Adakah sebab sistem mata wang ini memang menekan hidup kita? Apa sebab-sebabnya wahai saudara-saudara yang dihormati semua? Apa?

Teringat kepada satu kisah nabi. Nabi memberi kita satu panduan yang sangat berguna untuk menyelesaikan masalah-masalah itu semua. Nabi pulang ke rumah dan bertanya kepada Aisyah mengenai apakah yang ada untuk dimakan pada hari itu. Aisyah memberitahu, tiada makanan untuk dijamah pada hari itu. Nabi membalas, “kita berpuasa sunat sahaja hari ini”. Selesai masalah. Pahala pun dapat.

Ada banyak yang boleh dipelajari daripada kisah sependek itu. Kisah pendek itu juga amat membantu kita membuka kewarasan terhadap menilai semula masalah-masalah yang kita hadapi pada hari ini.

Kita dan fikiran kita hanya tertumpu kepada masalah, masalah dan masalah. Atas sebab itu, kita hanya berfikir mengenai bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah-masalah itu tanpa menghalakan fikiran ke arah sudut satah yang sewajarnya. Disebabkan ligat berfikir masalah yang bakal mendatang, impian bisnes tergendala kerana tidak berani menganggung risiko yang sebenarnya boleh dihitung.

Bangun pagi, celik mata, sudah mula berfikir mengenai masalah. Solat Subuh pun jadi tidak fokus kerana fikiran bercelaru dengan masalah, masalah dan masalah. Jadi apa sebenarnya yang kita fikirkan sehingga hidup menjadi tidak keruan wahai saudara semua?

Kita hanya fokus memikirkan kantung duit dan kehendak nafsu sehingga menjerumuskan kita ke dalam pelbagai masalah yang menyesakkan ketenangan fikiran. Itulah masalah kita semua apabila gagal menentukan kepentingan mana yang lebih penting melebihi lain-lain kepentingan. Fikiran kita gagal fokus kepada kepentingan yang sepatutnya ia berfikir dengan cara yang sepatutnya. Akibatnya, fikiran kita memilih tanpa sedar untuk hidup diselubungi masalah, masalah dan masalah.

Tanpa kita sedar, masalah yang kita sedang hadapi itu dijadikan pula sebagai peluang kepada orang lain untuk mencapai cita-cita mereka sama ada cita-cita kewangan, kedudukan atau sebagainya.

Katakan Ali ada masalah wang, ia jadi peluang kepada Ah Choo untuk menawarkan pinjaman kepada Ali. Akibatnya Ali terjerat hutang dengan lintah darat. Ah Choo pula memang sedia hidup bermasalah diselubungi permusuhan kongsi-kongsi gelap. Kongsi gelap pula mempunyai masalah dengan polis yang menguatkuasakan undang-undang. Polis pula menghadapi masalah untuk mengawal kongsi-kongsi gelap itu semua dan lain-lain kes jenayah yang berpunca daripada kehendak nafsu manusia yang menginginkan wang. Disebabkan wang, ada juga polis terjerat masalah rasuah.

Ah Choo pula ada masalah dengan isterinya, jadi Steven ada peluang untuk menawarkan khidmat pelacur kepada Ah Choo. Kemudian Ah Choo dibelenggu pula masalah jangkitan HIV. Semuanya berputar dalam darjah masalah yang tersendiri. Ia berputar disebabkan oleh satu masalah yang kemudian membuahkan masalah-masalah yang lain. Akibatnya, masalah yang bermula dengan satu ‘letusan’ kecil akan terus meledakkan hidup semua orang. Semua orang akan terus berfikir dan berfikir bagi menyelesaikan masalah masing-masing yang berpunca daripada kantung duit dan kehendak nafsu.

Nabi sudah mengajar kita, kalau tiada apa untuk dijamah, lebih baik berpuasa sunat. Ia juga pada masa sama akan mendidik nafsu. Apabila nafsu terdidik dengan baik, jiwa akan mendekati sifat sabar. Sabar juga membantu jiwa akur kepada ketentuan dan menjadi tenang. Tenang pula membantu kita berfikir dengan baik. Berfikiran baik pula membantu kita menjadi bebas sebebasnya daripada masalah-masalah dan prasangka-prasangka dunia. Cukup sempurna, yang diajar oleh nabi kita memang cukup sempurna. Bersegeralah selawat dan salam kepada baginda.

Melalui kisah pendek itu juga, nabi mengajar kita untuk memilih jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah melalui cara berfikir yang terbaik. Mudah, kalau tiada makanan, kita berpuasa. Pilihannya ialah berpuasa dan nabi tidak memilih cara lain untuk menyelesaikan masalah itu walaupun akan pasti ada orang yang memberi makanan kepada baginda sekiranya baginda meminta sedikit makanan daripada mereka.

Nabi memilih untuk berpuasa sebagai jalan penyelesaian. Nabi akur kepada ujian Allah yang menentukan tiada makanan untuk baginda dan isterinya Aisyah pada hari itu, lalu nabi berserah kepada Allah dan nabi pilih ke jalan Allah untuk menyelesaikan masalah itu, jalan itu ialah berpuasa sunat ke jalan Allah. Menangislah berselawat ke atas nabi. Sesungguhnya nabi telah mengajar kita cara terbaik untuk menyelesaikan masalah iaitu kembali kepada Allah yang Maha Pemurah dalam menentukan urusan rezeki-Nya ke atas kita. Usah terlalu fikir masalah dan cara penyelesaiannya, rezeki itu urusan Allah.

Andai terus fokus berfikir mengenai kantung duit dan kehendak nafsu, sampai dunia kiamat pun tidak akan pernah selesai. Lebih parah, pihak lain pula akan dipersalahkan apabila kita sendiri yang memilih untuk dibebani masalah.

Kalau saudara-saudara semua mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi, renungi dan teladani kisah pendek yang pernah dilalui nabi ketika hayat baginda. Jika mahu mengelak daripada dihujani masalah-masalah kantung dan nafsu, juga perlu teladani kisah pendek itu. Kisah teladan yang memberi perubahan besar kepada hidup. Contohi nabi, maka sempurnalah kehidupan.

Saya tidak mahu menyediakan jawapan kepada bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah-masalah kantung duit yang saudara semua hadapi. Pesan saya cuma satu, belajarlah daripada nabi kita yang seluruh zaman dikasihi oleh seluruh isi langit dan bumi.



Don’t get twisted and tangled by problems which occurred by our ownselves..



-ADMIN-

Posted by The Last STALKER at 02:20




1 comment:

  1. Amalan Harian
    Sebelum keluar rumah.. Amalkan bacaan surah al-ikhlas 3 kali, surah al-falaq 3 kali dan surah an-nas 3 kali.. Ucapkan Assalamualaikum kepada ahli rumah.. Sebelum masuk rumah, ucapkan Assalamualaikum kepada ahli rumah dan baca surah al-ikhlas 3 kali..

    ReplyDelete