Saturday, 6 July 2013

Follow the evidence

Written by UT: 21 Jul 2011




KESILAPAN terbesar yang dilakukan oleh pemikir konspirasi ialah meletakkan semua andaian negatif terhadap satu pihak secara sepenuhnya dengan mengabaikan pihak-pihak lain yang turut berupaya melakukan konspirasi.

Sebagai contoh, apabila Parti Democrat memegang tampuk pemerintahan di Amerika sebagai kerajaan yang memerintah, maka andaian konspirasi itu diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan Democrat. Walhal, mengabaikan bahawa Parti Republican yang belum dipilih menjadi kerajaan untuk penggal seterusnya juga mengadakan konspirasi.

Contoh lagi, di Britain, apabila Parti Konservatif menerajui kerajaan, maka andaian juga diletakkan bahawa wujud konspirasi dalam kerajaan itu diletakkan sepenuhnya terhadap parti itu. Dalam perkara yang sama, mengabaikan tumpuan kepada Parti Buruh yang turut berupaya melakukan konspirasi.

Begitu juga dengan keadaannya di Malaysia. Apabila sesebuah parti menerajui kerajaan Malaysia, maka diletakkan andaian bahkan tuduhan, bahawa parti yang menerajui kerajaan itu diselubungi konspirasi. Dalam keadaan itu, para pemikir terlupa bahawa parti yang berusaha untuk menjadi kerajaan juga ada tingkat-tingkat konspirasinya.

Tidak wajar untuk meletakkan sesuatu tuduhan kepada satu pihak semata-mata. Pertimbangan yang dibuat haruslah waras dan wajar berdasarkan fakta dan maklumat yang kita terima. Pertimbangan yang dibuat pula tidak boleh berat sebelah.

Andai pemikir konspirasi itu berjiwa Parti A, maka sebarang teori konspirasi yang dibuat adalah untuk menyalahkan Parti B semata-mata. Andai pula seseorang pemikir itu berjiwa Parti B, maka dia juga akan melakukan perkara yang sama iaitu menyalahkan Parti A melalui teori-teori konspirasi. Itu tidak adil.

Jangan pula membuta tuli mengatakan parti A itu melakukan konspirasi hanya semata-mata pemimpin politik parti B berkata demikian. Jangan pula menjadi seperti blind sheep yang mengikut setiap apa yang didengari kerana sudah tidak mampu melihat, hanya bergantung kepada telinga kerana mata sudah buta.

Dalam menilai konspirasi, kita harus melihat dari semua arah, terhadap semua pihak, tanpa paranoia. Tidak boleh melihat dari satu sudut yang kita mahu atau kita suka sahaja. Perhatikan sudut-sudut yang boleh memandu kita kepada jawapan yang bersambung-sambung dan tidak terputus-putus.

Jika keterangan terhadap satu pihak itu bersambung-sambung ke arah yang meragukan, menuju ke titik Yahudi Zionis sebagai contohnya, maka jawapan wajar terus dicari dan dicari selagi ada keterangan yang bersambung-sambung dalam menjawab persoalan itu.

Namun, apabila wujud keterangan yang terputus-putus di tengah jalan walaupun ada pertalian dengan Yahudi Zionis pada awalnya, maka ia juga harus difikirkan dengan wajar tanpa paranoia atau berat sebelah.

Apabila bersikap berat sebelah dengan melebihi satu pihak sahaja, maka kita tidak layak menjadi pengadil, pemerhati atau pemikir. Ia kerana kita hanya mencari jawapan yang akan menyalahkan satu pihak semata-mata dan proses untuk mendapat jawapan itu dilakukan secara tidak adil. Meletakkan satu perkara pada bukan tempat atau haq adalah satu perbuatan zalim.

Ia juga bermakna, pemikir konspirasi itu juga tidak bebas pemikirannya kerana masih dikongkong oleh jiwa yang menyokong sebelah pihak dengan mencemuh pihak yang satu lagi. Persepsi masih dikongkong oleh pihak lain. Bagaimana orang yang tidak bebas pemikirannya mahu membebaskan pemikiran orang lain? Ia hanya akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan tanpa sebarang jawapan.

Apabila menjadi berat sebelah, teori-teori yang terbina pula hanya dipenuhi persepsi semata-mata, persepsi yang mencemuh sebelah pihak dengan mengagungkan sebelah pihak yang lain, teori hanya sekadar teori yang tidak akan sedikitpun menghampiri fakta.

Antara perkara yang perlu dilakukan ialah menerima maklumat dari semua arah, memadankan maklumat itu dengan maklumat-maklumat luar yang boleh membantu, menilai maklumat menggunakan semua pertimbangan yang wajar dan melihat ke mana maklumat itu membawa kita.

“Follow the evidence where ever it leads you. Never trust your perception. Perception is deception.” – FORENSIC RULE No. 1

Tidak dinafikan, ramai yang melakukan pertimbangan berat sebelah. Perlu segera sedar bahawa berat sebelah itu adalah perbuatan yang tidak adil dan zalim. Jika anda mahukan jawapan terhadap sesuatu persoalan, bersungguh-sungguhlah mencari jawapan. Terima jawapan itu seadanya walaupun jawapan itu bukan seperti yang anda harapkan.

Ikut ke mana sahaja bukti-bukti itu membawa persoalan-persoalan itu pergi dan lihat di mana jawapan kepada persoalan itu terhenti. Apabila ia terhenti di titik yang disokong dari semua arah, maka ia adalah jawapan walaupun tidak seperti yang kita harapkan.

Terimalah jawapan itu walaupun ia tidak menyebelahi kita.
Berfikirlah dengan waras.

-ADMIN-



No comments:

Post a Comment