Saturday, 6 July 2013

Berikan mereka jawapan

Written by UT: 29 Oct 2011



PARA PENCARI TUHAN:
Berikan mereka jawapan


TERLEBIH dahulu dimaklumkan, artikel ini bukan ditulis untuk tujuan provokasi terhadap mana-mana pihak. Ia hanya sekadar mahu membuka ruang berfikir kepada mereka yang mahu menyampaikan kebenaran yang sebenar-benarnya. Jika seseorang itu ikhlas mencari Tuhan, maka dia akan bertemu dengan jawapan sebenar iaitu hanya Allah adalah Tuhan yang wajib disembah oleh seluruh umat manusia dan seluruh isi alam, juga kebenaran bahawa Allah itu satu dan tidak boleh disekutukan dengan sesuatu yang lain.

Dalam usaha mencari Tuhan, kebenaran itu sesungguhnya hanya satu. Ramai di luar sana yang mahu mencari Tuhan, ramai yang ikhlas mahu mencari Tuhan. Kebenaran sentiasa dicari dengan hati yang suci dan dengan niat untuk hidup bersama landasan yang benar. Semua orang mahu merasai nikmat syurga dan atas sebab itulah kebenaran dicari.


Manusia dianugerahkan hati. Hati dalam konteks ini pula bukan dirujuk kepada organ dalaman yang terbentuk daripada segumpal darah, tetapi dirujuk kepada sesuatu yang sukar diungkapkan dengan perkataan. Hati yang memalitkan rasa ingin tahu, ingin mencari, ingin mengasihi, ingin dikasihi, yang merasa ada sesuatu dalam diri, yang cuba mencari jawapan kepada kebenaran, yang memutikkan sesuatu niat, yang membisikkan kepada diri untuk melakukan sesuatu yang sepatutnya, namun semua perkataan itu tidak mampu mengungkapkan maksud hati dalam konteks ini. Hati dalam konteks ini bukan bersifat fizikal sebagaimana organ dalaman tubuh manusia.


Dalam meniti pengertian hati, ada sesuatu yang wajar diketahui iaitu hati manusia diciptakan suci daripada kejahatan. Hati yang suci itu sentiasa mahu mencari kebenaran dan mencari Tuhan yang menciptakannya. Apabila kebenaran itu sudah mampu dilihat dengan mata hati, maka hati akan berasa senang dengan kebenaran itu, tiada lagi gusar takut tercicir daripada landasan yang difitrahkan. Berfikir adalah kuncinya kerana kebenaran itu hanya untuk mereka yang berfikir.


Di sini, akal yang waras sangat diperlukan dalam usaha mencari Tuhan. Berfikir menggunakan mata hati yang masih ada sisa kesucian adalah jalan terbaik. Lihatlah segala petunjuk yang telah diberikan Tuhan dan berfikir mengenainya menggunakan apa juga cara. Walaupun seseorang itu menggunakan sains untuk mencari Tuhan, dia akhirnya pasti bertemu dengan kebenaran jika meneliti segala ayat-Nya yang tidak pernah ada salah atau silap. Namun, hak untuk mengurniakan hidayah kepada mana-mana manusia yang berusaha mencari Tuhan adalah tertakluk di bawah kehendak-Nya yang Maha Berkehendak.

---

Dalam meniti isu murtad, ada beberapa perkara yang harus dilihat oleh umat Islam. Pertama, masih ada orang Islam sendiri yang ‘bergolak akidah’ mahu mencari Tuhan sedangkan kebenaran mengenai - Allah itu satu - telah terang lagi nyata. Kedua, seseorang Muslim tidak membantu saudaranya yang ‘bergolak akidah’ itu dalam usaha mencari Allah. Ketiga, seseorang Muslim itu malas berdakwah kepada saudaranya yang sudah sedia Muslim untuk memantapkan akidahnya. Itu adalah beberapa perkara yang biasa didengar.

Perkara utama ialah usaha kita harus fokus kepada mereka yang sedang mencari Tuhan, tidak kira sama ada orang Islam sendiri yang mahu mencari Tuhan atau orang bukan Islam yang mahu mencari Tuhan bagi menemui kebenaran mutlak. Pokoknya ialah ada orang yang mencari Tuhan dan bantulah orang-orang itu mencari Tuhan. Jika tidak dibantu, maka akan ada orang lain yang akan membantu memperkenalkan tuhan versi mereka kepada orang-orang itu. Orang-orang itu mahu mencari Tuhan yang sebenar kerana hati mereka berbisik kepada diri mereka untuk hidup dalam kebenaran. Berilah kelegaan spiritual kepada mereka.

Jangan disia-siakan niat hati mereka untuk mencari kebenaran, sebaik-baiknya ialah membantu mereka berjalan ke arah kebenaran yang sebenar-benarnya. Bantulah mereka melihat kebenaran dengan membantu mereka berfikir mengenai keterangan-keterangan dalam al-Quran.


Namun, ada sisi kelemahan di kalangan umat Islam sendiri iaitu kurang ilmu untuk membuktikan kebenaran. Umat Islam masih dangkal terhadap ilmu, masih teraba-raba mencari fakta yang selari dengan keterangan al-Quran untuk dihamparkan kepada para pencari Tuhan termasuk di kalangan umat Islam sendiri yang mahu mencari Tuhan kerana sedang kabur terhadap kebenaran.

Andai ditakdirkan salah seorang daripada kamu bersoal jawab dengan seorang paderi atau seorang umat Nasrani dalam perihal akidah, adakah kamu akan terkedu tidak mampu memberikan jawapan bagi membuktikan kebenaran agama Islam? Kamu fikir kamu terkedu dan hanya sekadar terkedu, tetapi sebenarnya kamu gagal menyampaikan kebenaran agama Allah kepada mereka sedangkan kamu mengakui Islam itu agama yang benar. Atas sebab itu, umat Islam gagal berdakwah kerana tiada ilmu untuk membuktikan kebenaran.


Ilmu itu penting dan carilah ilmu dengan niat kerana Allah, bukan untuk kepentingan kedudukan di dunia.






Bagaimana pula kalau kamu didatangi seorang rakan yang beragama Nasrani dan meminta kamu menceritakan mengenai Islam kepadanya. Kamu pasti berasa seronok apabila dia menunjukkan kesungguhan untuk mengenali Islam. Namun apabila kamu ditanya rakan itu mengenai pembuktian terhadap kebenaran Tauhid dan al-Quran, adakah kamu akan mula berasa tidak seronok dan terkedu tanpa jawapan yang boleh membuat dia berfikir mengenai kebenaran Islam?

Orang itu (rakan yang beragama Nasrani) bersungguh-sungguh mencari kebenaran, lalu dia bertanya begitu banyak soalan kepada kamu supaya kamu boleh meyakinkan dia mengenai kebenaran Islam. Tetapi malangnya, kamu gagal memberi bukti kerana tidak cukup ilmu. Dia sudah bersungguh-sungguh, tetapi kamu pula gagal.


Kegagalan itu menyelubungi umat Islam hari ini. Gagal menguasai ilmu yang bermanfaat untuk menegakkan agama Allah iaitu Islam. Jangan cepat berasa seronok apabila ada orang yang mahu memahami Islam, sebaiknya ialah cuba kuasai pelbagai ilmu supaya kita dapat meyakinkan orang-orang itu terhadap Islam dan tidak pula terkedu apabila dilontarkan pelbagai soalan bagi merungkai segala kebingungan dan kebuntuannya dalam mencari Tuhan.

Jika orang itu bertanya banyak soalan, ia satu proses biasa bagi orang yang mahu belajar. Jangan pula berpeluh kalau diserbu banyak soalan daripadanya. Maka carilah ilmu untuk menyediakan jawapan kepada orang-orang itu. Mereka mahu mencari Tuhan, berilah jawapan kepada mereka supaya mereka dapat berfikir mengenai kebenaran Islam. Apabila kita hanya mampu terkedu tanpa memberikan jawapan, ia seolah-olah kita telah membenarkan kekeliruannya itu dalam mencari Tuhan. Berilmu dan bijak adalah dua perkara yang sangat diperlukan dalam usaha dakwah terhadap golongan pencari Tuhan.


Sesungguhnya, Islam telah menyediakan semua jawapan terhadap segala persoalan yang menyelubungi manusia. Islam menyediakan jawapan terhadap segala persoalan penciptaan langit dan bumi, begitu juga dengan jawapan terhadap penciptaan manusia daripada ‘benih’ ibu dan bapa yang tidak diketahui oleh manusia-manusia dahulu kala, jawapan-jawapan itu (melalui al-Quran) telah diberikan kepada manusia melalui Nabi Muhammad sejak manusia selepas zaman Nabi Nuh sudah tidak mengenali sains dan teknologi akibat musnahnya tamadun canggih akibat Banjir Besar.

Carilah ilmu dan kembalilah kepada al-Quran supaya kamu dapat memberikan jawapan-jawapan itu kepada para pencari Tuhan dalam membantu mereka berfikir mengenai kekuasaan Allah yang Satu (Wahdaniyah), tiada dua atau tiga. Dan semoga jawapan-jawapan yang diberikan itu akan membawa mereka kepada pelukan erat terhadap Islam sekiranya Allah berkehendakkan demikian.

Jangan pula nanti kita juga akan terkedu apabila ditanya di hadapan Allah mengenai kegagalan kita menyampaikan kebenaran terhadap mereka-mereka yang mahu mencari kebenaran.


Umat Islam harus gigih mencari ilmu bermanfaat dan berdakwah tanpa mementingkan wang ringgit atau upah keuntungan dunia dalam menjalankan misi dakwah. Sampaikan keterangan mengenai kebenaran agama Allah terhadap para pencari Tuhan walaupun hanya dalam satu ayat. Apabila ada yang mahu mencari Tuhan, maka carilah orang-orang itu supaya mereka tidak mencari orang yang salah kerana mereka mahu mendengar ucapan-ucapan yang benar daripada golongan yang benar. Memang selalu ada yang mahu mencari Tuhan, carilah mereka dan bawalah mereka kepada kebenaran yang sebenar.



---


Belajarlah daripada kecerdikan Ahmed Deedat (lahir tahun 1918 dan meninggal dunia pada tahun 2005) yang mencari ilmu untuk menyampaikan kebenaran kepada umat Nasrani di seluruh dunia yang sesat mengatakan Tuhan itu tiga. Ahmed Deedat bukanlah daripada golongan yang belajar Islam secara formal. Namun, dia adalah seorang tokoh Islam di zaman moden yang berilmu dan pernah datang ke negara kita suatu masa dahulu.


Dia bukan sahaja faham dan ingat seluruh isi kandungan al-Quran dalam bab akidah dan tauhid, malah dia juga ingat seluruh isi kandungan Bible dalam semua versi hanya untuk memudahkannya berdebat dengan para paderi Nasrani dalam menegaskan keikhlasannya menyatakan kebenaran al-Quran. Pemahamannya terhadap isi Bible tidak pernah menjadikan dia sebagai Nasrani, tetapi pemahamannya itu dimanfaatkan untuk memperlihatkan kontradiksi Bible dalam menyelami pengertian Tuhan yang sebenarnya. Pemahamannya terhadap Bible juga dimanfaatkan untuk menyerlahkan kebenaran al-Quran terhadap umat Nasrani dan Yahudi.


Dia juga belajar bahasa Hebrew untuk berdakwah kepada para Yahudi dan juga Nasrani, dia juga berhasil membuktikan kepada para Nasrani bahawa kalimah Allah tidak akan ditemui dalam Bible yang ditulis semula dalam bahasa Greek (Septuagint) iaitu yang digunapakai dalam akidah Nasrani pada hari ini, sebaliknya nama Allah sangat jelas jika seseorang itu membaca Bible dalam versi bahasa Hebrew atau Yiddish.


Masih ingat lagi dengan kata-kata tegas Ahmed Deedat dalam satu debat yang dihadirinya: “You will never find Allah in Septuagint Bible because it is a translation version from Jewish scriptures into Grecian and the word Allah had turned into various meanings after translations. But in Hebrew text Bible, you will find that Jesus said: ‘Ellahi ehad’ like Muhammad said: ‘Allahu ahad.”


Ilmu itu penting, sangat penting dalam membantu usaha dakwah umat Islam. Perlu menguasai pelbagai ilmu termasuk menguasai bahasa pelbagai bangsa, sains, teknologi dan bermacam lagi yang boleh dimanfaatkan untuk agama.


Dalam menghadapi cabaran ini, saya teringin untuk melihat lebih ramai Ahmed Deedat akan lahir dalam dunia Islam hari ini. Diharap golongan yang bijak menyampaikan kebenaran Islam ini akan mampu menggerakkan usaha dakwah ke peringkat yang lebih cemerlang dan mampu mematahkan hujah songsang para penyesat.


Saya tidak mahu cakap lebih dalam menceritakan mengenai perjuangan Ahmed Deedat ini, sebaliknya kamu semua carilah bahan-bahan bacaan dan hasil tulisannya ataupun rakaman-rakaman sesi debatnya dan belajarlah daripada kebijaksanaannya dalam menyampaikan kebenaran kepada umat Nasrani.


Masalah murtad memang merungsingkan umat Islam, tetapi jika semua umat Islam bersungguh-sungguh seperti Ahmed Deedat dalam menyampaikan dakwah berpandukan al-Quran, insya-Allah lebih ramai akan mampu melihat kebenaran sehingga dengan ikhlas mengucapkan dua kalimah syahadah.


Umat Islam perlu berani menyampaikan kebenaran, jangan hanya tertunduk apabila dihadapkan dengan pelbagai persoalan akidah yang dilontarkan oleh para pencari Tuhan kepada anda. Jangan terkedu, sampaikanlah kebenaran itu dengan hati yang tenang. Ia kerana para pencari Tuhan itu mahu jawapan daripada kita untuk memahami pengertian ketuhanan yang sebenar, maka berilah jawapan-jawapan itu kepada mereka.

---


Para pencari Tuhan adalah segolongan manusia yang tercari-cari pengertian Tuhan yang sebenar-benarnya. Golongan ini diselubungi sekian banyak persoalan mengenai siapakah Tuhan yang sebenar, Yang Paling Berkuasa di alam raya ini, Yang Menciptakan seluruh isi langit dan bumi, Yang Mengampuni segala kesesatan mereka selama ini, mereka mahukan semua jawapan terhadap persoalan-persoalan itu dengan jawapan yang benar-benar meyakinkan, berilah jawapan itu kepada mereka.


Jika ada di kalangan orang Islam sendiri (sekadar dilahirkan sebagai Islam) juga sedang teraba-raba mencari Tuhan, maka jangan dimarahi atau dicaci maki orang-orang seperti itu dengan kata-kata nista seperti menuduh mereka sesat atau jahil. Sebaliknya, bantulah mereka dengan menyediakan segala jawapan yang mampu menguraikan segala kekusutan yang bersarang di benak fikiran mereka. Buktikan kepada mereka bahawa Islam adalah agama yang diredhai Allah, buktikan kepada golongan itu bahawa Islam itu benar.


Kewujudan golongan seperti inilah yang membuka ruang kepada para penganut agama lain untuk menyampaikan kepercayaan mereka kepada golongan pencari Tuhan itu. Lihatlah dalam kes-kes murtad, orang Islam sendiri (yang telah murtad) mengaku tidak faham isi kandungan al-Quran walaupun tahu membacanya. Kenapa semua itu berlaku? Kerana tiada orang (saudara sama agama dengannya) yang mahu membawa orang itu supaya menjadi lebih dekat kepada al-Quran. Tiada orang Islam yang mahu membuktikan kepadanya bahawa al-Quran itu benar.


Sedarilah kesilapan ini dan mulakan semula usaha dakwah dengan penuh berpengetahuan. Menuntut ilmu bukan untuk lulus universiti dan seterusnya menikmati gaji lumayan untuk kesenangan dunia, tetapi tuntutlah ilmu kerana Allah. Gunakanlah segala pengetahuan dan ilmu untuk kesejahteraan agama Allah. Junjunglah cita-cita nabi kita untuk melihat umatnya yang ramai beriman.


Apabila kamu berilmu, maka darjat kamu juga akan diangkat. Darjat kamu pula akan lebih mulia sekiranya menggunakan ilmu bermanfaat itu demi agama-Nya. Jangan menuntut ilmu hanya semata-mata untuk kesenangan dunia kerana rezeki itu adalah segala-gala urusan-Nya.






Carilah para pencari Tuhan, berilah mereka jawapan yang meyakinkan.



Berdakwahlah.



Hanya sekadar pesanan ringkas kepada saudara-saudara yang saya kasihi.





-ADMIN-




No comments:

Post a Comment