Saturday, 6 July 2013

Nota: Tangan

Written by UT: 8 Feb 2012

ANAK adalah anugerah daripada Allah kepada para hamba-Nya. Tanggungjawab ibu bapa pula ialah mendidik anak-anak supaya mengenal perkara haq dan bathil sebagai persiapan sebelum anak itu mencapai umur baligh. Apabila sudah akhil baligh, maka tiada lagi istilah budak-budak terhadap anak itu kerana anak itu telah cukup umur.

Memang benar kalau dikatakan semua orang melakukan kesilapan tetapi kesilapan yang diulang-ulang tanpa sedikit pun rasa sedar, ia bukan lagi kesilapan, ia sebaliknya menjadi kesalahan. Kesilapan yang pertama kali dilakukan ialah kesilapan, tetapi apabila kesilapan itu berulang berkali-kali, maka ia adalah kesalahan. Apabila anak-anak melakukan kesilapan berulang kali, maka ia adalah kesalahan dan wajib dihukum sebagai memberi pengajaran.

“Sesiapa melihat sesuatu kemungkaran, maka HENDAKLAH (wajib) mencegahnnya dengan TANGAN, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu, dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” - (Hadis Riwayat Muslim)
Andai anak itu melakukan kesalahan (khususnya perkara mungkar), dia wajar dihukum dengan tangan andai nasihat (dengan lidah) sudah tidak memadai untuk mendisiplinkan kembali anak itu. Ia kerana Rasulullah (selawat dan salam kepada baginda) memerintahkan kita supaya mencegah kemungkaran itu dengan tangan. Itu satu perintah.

Banyak perkara dapat diubah apabila kita melakukan perubahan itu dengan tangan kita sendiri, syaratnya perbuatan itu haruslah untuk menegakkan perintah Allah dan Rasul-Nya. Untuk mengembalikan seseorang kepada jalan Allah dan Rasul-Nya. Ia tidak bererti memukul dengan tangan, tetapi memukul dengan tangan itu adalah sebahagian daripada pengertian mencegahnya dengan tangan.

“Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan PUKUL jika mereka enggan apabila berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur.” - (Hadis Riwayat Muslim)

Baginda Rasulullah berpesan kepada kita supaya memukul anak jika mereka enggan mendirikan solat. Pengertian hadis itu tidak hanya berkisar dalam hal solat. Tidak mendirikan solat itu adalah satu perbuatan mungkar. Apa pula pesan Nabi kepada kita apabila melihat kemungkaran? Pesan Nabi ialah HENDAKLAH mencegahnya dengan TANGAN. Pesanan mencegah dengan tangan itu pula ditujukan kepada semua umat, tidak hanya kepada ibu bapa yang dipertanggungjawab mendidik anak. Mencegah dengan tangan itu lebih utama dan sangat besar pengertian serta kesan baik yang akan kita terima. Maka, PUKUL itu juga selari dengan perbuatan menggunakan TANGAN.

Maka dengan itu, Rasululllah konsisten dalam setiap ucapannya (yang diungkap sebagai hadis). Apabila melihat kemungkaran, Nabi perintahkan kita supaya mencegah dengan TANGAN. Apabila anak-anak tidak solat, Nabi perintahkan kita supaya memukul, juga berkisar dalam maksud perbuatan dengan TANGAN. Nabi tidak suruh menendang atau sepak terajang, tetapi Nabi perintahkan supaya melakukannya dengan TANGAN.

Dalam dunia New World Order (NWO) hari ini, manusia terdedah kepada pelbagai anasir dan corak pemikiran yang menyesatkan kewarasan sehingga kita terlupa kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Modul-modul kesesatan rancangan kultus Illuminatus pula sedang ligat memutarkan akal-akal manusia supaya berpaling daripada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Anak-anak remaja Melayu yang beragama Islam pula semakin berubah, sedih melihat anak-anak orang Islam menjadi lebih kurang ajar daripada anak-anak orang kafir. Tidak menghormati ibu bapa dan menderhaka tanpa rasa bersalah. Lebih parah apabila ibu bapa langsung tidak menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan yang terang salah.

Apa pesan Nabi kalau kita melihat kemungkaran termasuk anak yang derhaka? HENDAKLAH mencegahnya dengan TANGAN. Maka, taatilah perintah itu, berilah pengajaran kepada anak-anak yang melakukan kesalahan, berilah pengajaran kepada anak kamu menggunakan TANGAN kamu sendiri.

Andai ada orang lain yang berasa bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang dilakukan anak kamu dengan mencegahnya dengan TANGAN mereka sendiri kerana mereka taat kepada perintah Nabi, maka apa pula dengan kamu yang tidak taat kepada perintah Nabi kerana tidak mencegah kemungkaran anak kamu dengan tangan kamu sendiri? Bukankah bermakna kamu ingkar perintah Nabi? Andai kamu pula memusuhi orang yang memukul anak kamu kerana mereka hanya melaksanakan perintah Nabi, maka wajarkah dikatakan kamu juga memusuhi orang-orang yang melaksanakan perintah Nabi. Atau, wajarkah dikatakan kamu juga memusuhi perkara yang telah Nabi perintahkan?

Anak-anak perlu dididik dengan agama supaya mereka mengenal Allah, mengenal serta taat segala perintah Allah dan Rasul-Nya. Andai esok kamu mati, adakah anak kamu itu yang akan memandikan jenazah kamu? Adakah anak kamu itu yang akan mengkafankan kamu? Adakah anak kamu itu yang akan mendirikan solat kepada jenazah kamu? Adakah anak kamu itu akan mengebumikan kamu? Adakah anak kamu itu akan menghadiahkan bacaan al-Quran dan doa-doa untuk roh kamu? Atau, adakah anak kamu itu yang akan memalukan kamu dan terus memalukan kamu walaupun kamu telah mati?

“Setiap anak yang dilahirkan fitrah itu bagaikan kain putih, ibu bapalah yang MENCORAKKAN (kata kerja yang berkaitan dengan tangan) anak itu sama ada menjadi seorang Yahudi, Majusi atau Nasrani.”- (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud mencorakkan anak yang diumpamakan dengan kain putih itu juga selari dengan pengertian TANGAN. Ia kerana mencorakkkan itu juga perbuatan menggunakan TANGAN. Oleh itu, ucapan Nabi sentiasa konsisten kerana setiap yang keluar daripada mulut Nabi adalah datangnya daripada Allah. Maka, perintah Nabi itu juga datangnya daripada Allah.

Mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya akan membawa kita kepada keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Malukah kita apabila ditanya di hadapan Allah: “Apa yang kamu buat untuk mendidik anak kamu supaya taat kepada Allah, Rasul dan kamu sendiri sebagai ibu bapa?”

Tidak malukah untuk mengaku di hadapan Allah bahawa kamu langsung tidak berbuat apa-apa dalam mendidik anak kamu sedangkan Nabi-Nya memerintahkan kamu supaya mencegah kemungkaran dengan menggunakan TANGAN termasuk kemungkaran yang dilakukan anak kamu itu, kamu sudah diberi peluang oleh Allah, tetapi kenapa ingkar perintah Allah dan Rasul? Derhaka itu mungkar, meninggikan suara kepada orang lebih tua itu juga mungkar, tidak menghormati orang lebih tua itu juga mungkar, maka cegahlah ia dengan TANGAN.

Barat mengajar manusia hari ini dengan cara kononnya moden dalam mendidik anak-anak. Barat mengutamakan pendekatan yang tidak selari dengan perintah Nabi. Andai memukul anak, seseorang boleh dituduh mendera anak di mahkamah. Kesannya, kita langsung tidak boleh memukul anak kerana tidak mahu dituduh di mahkamah sebagai mendera atau melakukan kekasaran sehingga mendatangkan kecederaan teruk.

Hakikatnya, itulah yang kultus Illuminatus mahukan iaitu prejudis kepada perintah Allah dan Rasul-Nya meskipun dalam hal mendidik anak. Itulah salah satu catur yang mengehadkan kita daripada mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.

Namun, kita sekali lagi lupa bahawa kesederhanaan itu juga diajar dalam Islam. Maka bersederhanalah dalam setiap perkara,memukul juga biarlah sederhana. Pun begitu, pastikan perbuatan memukul itu mampu meninggalkan pengajaran yang besar kepada si anak supaya dia faham bahawa dia dipukul kerana melakukan kesalahan dan supaya dia ingat bahawa kesalahan itu tidak wajar diulangi.

Memang benar semua orang melakukan kesalahan. Namun kesalahan itu tetap kesalahan dan ia wajar diberi pengajaran. Cukup sekadar member pengajaran dan lakukanlah ia dengan sederhana sebagaimana diperintahkan. Kalau sayangkan anak, tidak perlu dimanja-manjakan berlebih-lebihan kerana itu akan memusnahkan anak itu sendiri.

Andai semua anak remaja melakukan kesalahan dan semua ibu bapa berkata: “Semua orang buat salah, lagipun dia tu budak lagi.” Maka boleh runtuh agama. Sampai bila-bila pun si anak itu tidak akan faham setiap butir kesalahannya dan tidak akan berasa insaf sebenar-benar insaf atas segala kesalahannya. Lebih parah, anak tidak melakukan perkara yang sepatutnya apabila ibu bapa telah meninggal dunia kerana tidak pernah diajar dengan TANGAN.

Saya tidak mahu cakap lebih dalam nota kali ini, ia hanya sebagai peringatan kepada kita semua supaya taat perintah Allah dan Rasul-Nya dalam hal mendidik anak.



Pepatah Melayu dalam hal mendidik anak juga berkisar dalam perbuatan dengan tangan.



“MELENTUR buluh, biarlah dari rebungnya.” – (Perbendaharaan pepatah Melayu) Melentur itu perbuatan menggunakan tangan.



“Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak TANGAN-TANGANKAN.” – (Perbendaharaan pepatah Melayu)





Andai kita melihat sesuatu kehancuran, ia juga disebabkan oleh TANGAN-TANGAN kita sendiri yang tidak memainkan peranan dengan sebaiknya. Anak yang hancur akidah dan masa depannya juga disebabkan oleh kegagalan kita sendiri yang gagal taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.



Apabila kita melihat akidah dan akhlak masyarakat hancur, maka ia salah kita kerana tidak mendidik masyarakat bermula dari rumah kita sendiri. Jangan hanya tahu geleng kepala kalau melihat kemungkaran anak sendiri, it is our own fault.



Apa yang kita buat, itulah yang kita dapat.



No comments:

Post a Comment