Written by UT: 15 Jan 2012
MEMBACA adalah perbuatan yang mudah bagi orang yang tidak buta huruf. Mengenal huruf dan suku kata serta sebutan-sebutannya berupaya membantu seseorang untuk membaca.
Namun, tidak semua orang benar-benar ‘pandai’ membaca. Apatah lagi membaca surat khabar. Lagi, lebih ramai pula yang tidak tahu bagaimana cara untuk menapis setiap bahan atau maklumat yang dibaca.
Ada orang yang membaca akhbar, lalu menuduh akhbar itu menipu atau menfitnah. Tetapi mereka kurang pandai membaca dan memahami keseluruhan berita bahawa berita itu hanya melaporkan perkataan-perkataan orang lain. Maaf kalau pernyataan ini kasar sedikit bunyinya.
Setiap perkataan yang diucapkan oleh seseorang dan perkataan-perkataan itu pula mempunyai nilai berita, maka ia dilaporkan di dalam akhbar. Ringkasnya, apa yang diucapkan seseorang itu, akhbar akan menulisnya.
Akhbar tidak menipu mengenai apa yang ditulisnya (ada juga yang tidak setuju dengan pernyataan ini). Apa sahaja yang diberitahu kepada akhbar, maka itulah yang ditulis. Tetapi sekiranya orang yang dipetik oleh akhbar sebagai berkata itu menipu akhbar, maka tipulah jadinya. Sama juga seperti ungkapan: “kalau dia tipu, aku pun tipu juga lah. kalau dia cakap benar, aku pun cakap benar lah.”
Kalau ahli politik A memberi keterangan yang salah kepada akhbar, maka akhbar akan menulisnya bulat-bulat untuk dinilai oleh pembaca. Jika ahli politik A benar-benar menipu, akhbar pula yang menjadi mangsa tohmahan orang ramai apabila pengikut-pengikutnya mula melenting. Padahal, yang menipu itu adalah ahli politik itu tadi. Susah betul jadi orang surat khabar.
Menggolek dapat sakit, digolek pun dapat sakit kalau jadi orang surat khabar yang menulis mengenai isu-isu politik. Mujur saya dipindahkan ke Meja Jenayah, aman sedikit rasanya walaupun dibenci dan diburu penjenayah daripada terus mendengar bingit caci maki suara-suara keldai dalam parti-parti politik. Kata penjenayah kepada saya dalam panggilan telefon: “Lu jangan buat hal, lu mau mati.” Saya balas dalam panggilan telefon: “Apa lu ingat gua takut?” Sehingga hari ini, saya masih bebas berjalan ke mana saja yang saya suka.
Menjadi resam orang surat khabar iaitu merekodkan setiap perkataan seseorang yang ditemubual, lebih-lebih lagi orang yang suka mencari pasal dengan orang surat khabar. Perkataan-perkataan itu direkodkan dalam tiga cara atau lebih. Pertama, melalui catatan atas kertas; kedua, melalui alat perakam suara; dan ketiga, melalui rakaman kamera visual bagi media-media visual dan penyiaran. Ada juga orang surat khabar yang mencatat atas kertas dan pada masa yang sama alat perakam suara dipasang atau kamera video untuk merakam setiap perkataan. Jadi, masing-masing wartawan ada dua rekod di situ.
“Mahu menafikan? Okay, kita buka semula rekod-rekod itu semua,” Itulah detik bibir setiap orang surat khabar apabila tulisan mereka dipertikaikan. “Bukan saya yang kata begitu, tetapi dia lah yang berkata begitu, saya hanya tulis apa yang dia cakap sahaja.” Detik bibir orang surat khabar itu lagi. Itu semua selalu saya dengar apabila pulang ke pejabat setiap kali timbul pertikaian terhadap sesuatu laporan.
Namun, ada satu jenis perangai orang surat khabar yang saya sendiri tidak suka mengenainya. Apa jenis perangai yang dimaksudkan? Perangai itu ialah suka SPIN dan TWIST kenyataan seseorang dalam ayat yang dibinanya sendiri selepas diolah daripada ucapan asal orang yang ditemubual atau dipetik.
Ayat yang di-spin itu biasanya dibuat sebagai ayat penyata dan BUKAN sebagai ayat “quotation,” dalam pembuka kata ( “ ) dan penutup kata ( ” ) berdasarkan ucapan asal. Bagaimana untuk mengesan spin dan twist dalam sesebuah laporan akhbar? Ia tidak sukar, cuma perlu rajin untuk merujuk pelbagai sumber berita dan paling penting ialah mendengar atau melihat sendiri rekod-rekod yang direkodkan oleh pemberita asal bagi laporan itu. Atas sebab itulah seseorang wartawan akan berkata seperti: “Mahu nafi lagi? Okay, kita buka semula rekod-rekod itu semua.” apabila ada pertikaian.
Seperti yang berbuih-buih mulut diterangkan dalam artikel-artikel di blog ini sebelum ini; untuk mendapatkan kesahihan sesuatu perkara, kita sebagai orang awam (bagi yang bukan di kalangan pemberita) perlu meneliti dari semua arah dengan merujuk setiap versi cerita mengenai sesuatu isu. Kalau buntu, carilah rekod-rekod itu untuk mendapat kepastian. Teliti semua sumber dari semua arah, jangan hanya merujuk kepada satu sumber, tetapi rujuklah juga lain-lain sumber. Jangan hanya angguk patuh berkeldai buta kalau mana-mana ahli politik melarang kamu daripada membaca sesebuah akhbar, itu mahu monopoli propaganda namanya (rujuk artikel Psy-war Post: Monopoli propaganda). Itu juga hak kamu untuk mendapat maklumat dari semua arah.
Saya wartawan, kawan-kawan saya juga ramai yang bekerja dalam semua akhbar yang ada di Malaysia ini. Dalam Harakah dan Suara Keadilan pun ada kawan-kawan saya, saya tahu perangai-perangai mereka. Saya baca semua akhbar, saya baca media pro-kerajaan dan media pro-pembangkang pun saya baca. Setiap hari, saya membaca lebih daripada lima buah akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris. Untuk akhbar Cina dan Tamil pula, saya minta kawan-kawan Cina dan India tolong bacakan untuk saya. Itu belum lagi akhbar-akhbar dari luar negara, semua dibaca untuk menganalisa sesuatu isu sebelum menapis setiap maklumat yang saya terima. Anda semua juga boleh buat seperti itu.
Apabila mendapat maklumat dari semua arah, maka maklumat-maklumat itu perlu dipadankan satu persatu dengan penuh teliti dan cermat tanpa sebarang perasaan yang memihak kepada sesiapa pun secara berkeldai buta. Itu pun kalau anda semua sungguh-sungguh dalam mencari kesahihan sesuatu perkara berdasarkan sumber-sumber berita (ada banyak lagi sumber lain selain akhbar dan media).
Apabila pulang ke pejabat dan menulis berita, seseorang pemberita hanya menunggu berita itu untuk keluar dalam akhbar esok hari. Kemudian esoknya, pemberita itu akan bandingkan laporannya dengan laporan akhbar-akhbar lain. Kalau ada akhbar yang buat spin, sebilangan mereka akan tersenyum sendirian dan terus menghubungi rakan wartawan yang buat spin itu. Hanya di kalangan wartawan yang melaporkan perkara yang sama sahaja mengetahui siapa yang ligat membuat spin. Kami tahu siapa yang kaki spin, mestilah akhbar-akhbar (lebih sesuai dipanggil tabloid) hardcore child’s politic.
Kalau ada berita yang di-spin, seseorang wartawan akan mula ‘naik minyak’ kerana berita yang ditulisnya secara bulat-bulat itu tidak ‘sedap’ sepertimana berita mengenai perkara sama yang telah di-spin oleh rakan wartawan yang lain. Berita spin itu lebih sedap dibaca dan lebih besar impaknya ke atas sesetengah masyarakat tertentu, atas sebab itulah seseorang wartawan itu akan naik minyak dan meradang kerana hasil laporannya yang ikhlas itu sudah dipandang sebagai berita sampah oleh kumpulan masyarakat yang lebih mempercayai berita spin itu tadi.
Apabila mengikuti sesuatu isu, maka ikutlah dari awal hingga yang terkini. Buka rekod-rekod laporan berita yang lama dan padankan dengan yang terkini, adakah ada keterangan yang bersambung-sambung atau terputus-putus? Dulu kata lain, sekarang cakap lain pula. Mana satu yang betul?
Ada yang berkata beberapa akhbar itu lidah kerajaan dan berkhidmat untuk tuan-tuan politik mereka. Itu silap, sebenarnya semua akhbar atau tabloid dan agensi media di dunia ini ada tuan politik masing-masing. Tabloid hiburan pun sama sahaja. Setiap laporan akan sentiasa memihak atau sekurang-kurangnya berat sedikit kepada tuan politik mereka, namun kita perlu melihat sumber-sumber berita yang lain untuk mengenalpasti spin. Lebih baik ialah merujuk rekod-rekod asal.
Setiap kali mahu memaki hamun, berfikirlah sebelum memaki hamun orang surat khabar. Saya pun terasa juga walaupun yang dimaki itu bukan wartawan dari akhbar tempat saya bekerja. Mereka hanya menulis mengenai perkataan apa yang diucapkan oleh individu yang dilaporkan. Akhbar yang baik ialah akhbar yang mahu mengajak orang ramai berfikir dan menilai. Sebab itulah perkataan-perkataan itu dilaporkan.
Berita belum habis dibaca, mulut sudah mula memaki-maki. Hanya terima maklumat dari satu arah, mulut sudah memaki-maki. Ada lagi hebat, berita langsung tidak dibaca, hanya tengok tajuk berita sahaja, tetapi mulut sudah habis keluar segala perkataan kurang enak.
Kalau terus mahu menafikan, mintalah rekod-rekod asal itu didedahkan sebagai bukti. Ada berani?
ADA BERANI?
Ini bukan artikel politik, artikel ini mengenai kita semua yang sepanjang masa terdedah kepada pelbagai sumber berita.
p/s: Suka dengar lagu Nawal al-Zoghbi atau Outlandish dalam kereta kalau 'naik minyak' sebab berita yang ditulis sudah 'jadi tak sedap'.
-CLOVER-
No comments:
Post a Comment