Written by UT: 5 Dec 2011
APAKAH alasan bagi seorang Muslim untuk membenci saudaranya yang lain hanya kerana saudaranya itu berbeza pendapat? Boleh dikatakan setiap hari, pasti akan ada seorang Muslim yang mengutuk, menghina, mencerca dan mengherdik saudara sesama Muslim.
Apabila ditanya, dia akan menjawab dia berbuat demikian kerana pada fikirannya, saudaranya itu sudah sesat, munafik dan bermacam-macam lagi perkataan buruk yang dilemparkan.
Namun, adakah dengan mengeluarkan perkataan-perkataan jahat itu merupakan perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh seseorang Muslim apabila dia marah kepada saudaranya yang lain? Begitukah akhlak seorang Muslim?
Sesama Muslim bergaduh, orang kafir bertepuk tangan. Sesama Muslim bertengkar, orang kafir bergelak sakan jadi batu api. Sesama Muslim bertengkar, dakwah jadi tidak sempurna kerana orang Islam gagal menunjukkan akhlak yang baik, orang kafir pula tersenyum riang. Paling untung ialah orang kafir, sesama Muslim terus bertengkar.
Apabila ditegur salah satu, sekumpulan Muslim pula berkata: “Mana ada gaduh, cuba turun tengok rakyat jelata, mana ada gaduh-gaduh..” Walhal, tiap-tiap hari akan ada seorang Muslim mencerca saudaranya yang lain.
Satu pagi beberapa bulan lalu dalam suasana sebuah perhimpunan di sebuah kawasan, saya ditugaskan untuk memerhati perkembangan di sana. Apabila saya melalui sebuah kawasan yang agak tegang, saya terdengar seorang anak muda (mungkin awal 20-an) sedang mengutuk saudara seagamanya. Saya kemudian tegur:
“Apa gaduh-gaduh ni..”
“Oh, mana ada gaduh, cuma kutuk mengutuk sahaja.”
“Kenapa kutuk saudara kamu? Suka benar mengutuk orang ni.”
“Oh, sebab benci.”
“Kenapa benci?”
“Sebab mereka itu munafik, Nabi pun cakap, benci dalam hati itu selemah-lemah iman.”
“Kenapa cakap mereka munafik?”
“Sebab mereka tidak amalkan ajaran Islam dengan betul, pura-pura Islam tapi mereka tolak hudud. Mereka penipu. Kami nak hak kami.”
“Kalau begitu, kamu kutuk dia itu ikut ajaran Islam kah, Islam ajar kita mengutuk orang lain kah? Apa yang Islam ajar kita? Kamu pun munafik jugalah kalau begitu sebab kamu pun tidak ikut ajaran Islam.”
“Jangan cakap macam itu bang.. Saya sokong hudud, saya tak munafik.. Saya tengah panas ni bang… kawan-kawan saya pun ramai tu..”
“Orang-orang saya pun ramai juga, lebih ramai daripada kawan-kawan kamu. Islam itu diukur dari segi penerimaan hudud sahaja ke? Islam itu hanya hudud sahaja ke? Akhlak yang baik itu bukan ajaran Islam ke? Bos kamu kata no more hudud, no more Islamic state, kamu di pihak mana sekarang ini?”
“Saya tetap sokong hudud bang.. Abang ni geng UMNO ke? Lain macam je bunyi.”
“Saya bukan UMNO, PAS pun bukan, saya orang Islam macam kamu. Kalau begitu, bos kamu yang tak mahu hudud lagi itu bagaimana pula? Kamu nak kata dia munafik juga ke?”
“Itu tak munafik bang… Itu tolak ansur dengan kafir bang…”
“Eh, boleh pula kira macam itu ye? Allah terima ke alasan tu?”
“Nak cepat ni bang.. kena gerak pergi tempat lain pula..”
-------
Walaupun sempat berbual dalam tempoh yang sangat singkat, ada banyak maklumat yang diperoleh melalui anak muda itu. Dapat dinilai bahawa umat hari ini sudah sangat tenat dengan pelbagai penyakit yang bersarang di jiwa. Penyakit benci membenci, penyakit berat sebelah dan penyakit zombie. Selama ini saya hanya menerima laporan mengenai sikap yang seperti itu di kalangan anak-anak muda, tetapi pada hari itu saya melihat dengan mata sendiri dan mendengar dengan telinga sendiri.
Nabi kata benci dalam hati itu selemah-lemah iman andai tidak mampu mengubah dengan tangan sendiri atau dengan lidah sendiri. Nabi tidak ajar kita mengutuk orang lain. Benci dalam hati, tetapi tidak menzahirkan rasa benci itu dengan perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan yang tidak baik. Kenapa Islam tidak suruh kita menzahirkan rasa benci itu dengan perbuatan atau perkataan yang tidak baik? Itu kerana Islam mengajar kita untuk jadi lebih baik. Atas sebab itu Islam tidak ajar kita untuk jadi tidak baik, Islam ajar kita mengenai cara untuk menjadi insan terbaik.
Soalan paling ligat berputar di kepala saya ialah, kenapa pemikiran mereka sudah jadi tidak menentu seperti itu? Mereka sedang dicaturkan dengan sangat teratur, tetapi belum cukup kemas.
Berbekalkan kapasiti yang ada pada saya, saya ambil keputusan untuk bertemu pemimpin-pemimpin mereka bagi mengetahui sebab mengapa mereka berfikiran seperti itu. Jawapan yang saya dapat hanyalah, “mereka menuntut hak mereka.”
“Apakah hak-hak mereka yang telah kamu ajar kepada mereka?”
“Sudahlah, tak mahu komen lagi.”
Itu sahaja jawapan yang saya dapat. Hak saya untuk mendapat jawapan pula, dinafikan oleh seseorang yang bergelar pemimpin kepada mereka itu. Dalam hal ini, saya juga menuntut hak saya, iaitu hak untuk mendapat jawapan. Namun, mengapa dinafikan hak saya itu?
Saya akan tetap menuntut jawapan daripada pemimpin itu sehingga di akhirat andai diberi peluang oleh Allah.
Ia semakin menjadikan penilaian saya semakin condong ke arah yang tidak lagi berada di tengah-tengah. Jika ini yang sedang berlaku di kalangan umat Islam di negara ini, saya wajar menulis semula di samping bergerak di luar sana bersama orang-orang yang sama pandangan dengan saya di seluruh dunia seperti biasa.
-----------
Dalam ramai tidak sedar, pemikiran umat Islam sedang diratah-ratah dengan pemahaman yang kucar-kacir terhadap agama. Saya tidak menuduh mereka sesat, tetapi mereka tidak berfikir dengan wajar dalam melakukan tindakan.
Saya tidak suka budaya benci membenci. Saya lihat, orang PAS sangat benci kepada orang UMNO. Bagi mereka, UMNO itu menolak hudud dan sekular walaupun mereka tidak sedar bahawa mereka juga sedang diheret ke kancah sekularisme.
Bagi orang UMNO pula, mereka benci orang PAS kerana mengkafirkan mereka dan dikatakan selalu bermuka-muka dan tidak serius membela Islam melebihi matlamat politik. PAS membenci UMNO, dan UMNO pula mencurigai PAS.
Saya tidak berminat bercakap mengenai PKR kerana PKR sejak mula sudah tidak pernah jelas perjuangannya selain lebih kepada ‘family affair’. Saya juga seperti rakan-rakan saya yang lain dalam Umat Terakhir ini iaitu: saya bukan UMNO, bukan juga PAS, jauh sekali bukan PKR atau mana-mana parti politik, tetapi saya orang Islam.
Bagi saya, hudud wajar dan wajib dilaksanakan, namun begitu saya bukan orang PAS, tetapi saya orang Islam.
Hudud bagaimanapun wajar dikaji lebih mendalam dan lebih cermat sebelum dilaksanakan, banyak perkara dalam seksyen dan sub-seksyen draf hudud yang perlu didefinisikan semula supaya lebih jelas dan mengikut kehendak Islam, ia juga bagi mengelakkan fitnah terhadap Islam itu sendiri apabila timbul kekeliruan dalam perlaksanaannya, itu juga bukan bermaksud saya ini orang UMNO andai saya berkata begitu.
Bagaimanapun, pemikiran umat Islam dihala atau ditala ke arah yang sangat tidak wajar sehingga gagal berfikir mengikut kewajaran yang sesuai. Sebilangan umat dalam sebuah parti sangat sombong dan tidak boleh ditegur mengenai kelemahan draf hudud. Apabila ditegur sedikit, habis keluar sumpah seranah dan caci maki dilemparkan, berfikir dengan waras pula tetap tidak dibuat sampai sudah.
Lagi sekali, kenapa sumpah seranah itu boleh terkeluar? Semua atas sebab benci membenci sesama Muslim. Sudah tidak ada lagi istilah saling lengkap melengkapi sesama saudara. Teguran itu bertujuan untuk melengkapkan apa yang tidak lengkap, andai tiada yang salah, sudah tentu tidak ada teguran.
Tetapi setiap kali ditegur, semua kesalahan dan kelemahan itu diterbalikkan dan diletakkan pula di atas kepala orang yang menegur. Satu penyakit yang saya tidak suka mengenai PAS selepas berdamping dengan PKR dan DAP ialah, semua kesalahan akan dituang ke atas UMNO walaupun kelemahan itu datang daripada kesilapan mereka sendiri. Sebelum berdamping dengan PKR dan DAP, parti PAS tidak pernah berbuat seperti itu dan sentiasa mengambil sikap yang wajar.
Satu penyakit yang saya tidak suka mengenai UMNO pula ialah suka melakukan perkara yang dibenci. Banyak hiburan, program UMNO pun banyak hiburan, masyarakat yang masih muda remaja dibiarkan rosak, apabila sudah benar-benar rosak barulah mahu memperbetul keadaan.
Pun begitu, saya tetap menghormati PAS dan tetap menghormati UMNO kerana mereka sama-sama Islam. Ada yang berkata, PAS dan UMNO wajar bersatu semula demi agama dan bangsa. Ada pula yang berkata PAS tidak perlu bersatu dengan UMNO tetapi cukup sekadar berbaik-baik sahaja demi agama dan berperanan sebagai ‘check and balance’ kepada UMNO. UMNO pula wajar mendengar kata-kata PAS, dan PAS juga serupa.
Apa-apa pun cadangan ke arah kebaikan agama Islam, saya terima dan suka. Setiap kali ada usaha ke arah menjadikan kedua-dua parti harapan orang Melayu beragama Islam itu berbaik-baik, saya adalah antara orang yang paling gembira.
Orang Melayu beragama Islam di Malaysia ini ada dua pilihan sekiranya mereka mahu memilih politik demokrasi. Saya sayang PAS dan saya juga sayang UMNO. Saya tidak mahu PAS lenyap, saya juga tidak mahu UMNO lenyap.
Saya ulang, orang Melayu beragama Islam di Malaysia ini ada dua pilihan sekiranya mereka mahu memilih politik demokrasi. Sekiranya UMNO membuat kesalahan, orang Melayu beragama Islam ada pilihan lain iaitu memilih PAS untuk mengajar UMNO kembali ke pangkal jalan. Andai PAS pula melakukan kesalahan, orang Melayu beragama Islam ada pilihan lain iaitu memilih UMNO untuk memberi pengajaran kepada PAS.
Saya bertemu dengan ramai orang sepanjang saya bekerja dalam bidang saya sekarang. Saya suka bertanya kepada orang UMNO mengenai PAS dengan soalan adakah mereka benci PAS. Jawapan yang saya terima ialah, mereka juga sayang PAS atas sebab-sebab yang tidak mahu mereka beritahu kepada saya, namun saya tahu mereka ikhlas. Saya tahu mereka ikhlas kerana saya sudah bertemu dengan beratus ribu orang sepanjang saya bekerja dalam bidang saya sekarang, saya tahu menilai keihlasan percakapan seseorang.
Malangnya apabila ditanya kepada orang PAS mengenai UMNO, pelbagai kata nista yang saya dengar. Namun, saya tidak membuat kesimpulan melulu yang terus melompat menghukum PAS. Saya beranggapan untuk menyedapkan hati, ada sebab mengapa orang PAS tidak bersetuju dengan UMNO. Namun, kata-kata nista seperti itu tidak pernah diajar oleh baginda Nabi Muhammad kepada umat-umatnya. Itu yang saya tidak boleh terima dari sudut itu. Sekali lagi, saya tidak pernah menyalahkan PAS walaupun tindakan beberapa pengikut dan pemimpinnya tidak saya setuju.
Bagi saya, umat Islam sendiri harus bangkit memperbaiki diri. Baik UMNO atau PAS, sama-sama perlu baiki diri demi agama. Pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS, masing-masing kenal saya. Tetapi adakah pemimpin-pemimpin itu kenal kamu semua yang hanya jadi pengikut, atas dasar apa pula pengikut yang tidak dikenali pemimpin itu mahu taksub?
Ikhlas hati, saya sayang UMNO dan PAS. Kalau kamu semua selaku pengikut parti-parti itu benar-benar ikut perintah Allah, maka perbetulkanlah apa yang tidak betul dalam UMNO mahupun PAS demi agama Allah. Tetapi, saya tidak sayangkan demokrasi walaupun keharmonian boleh diwujudkan melalui demokrasi. Wajar diingat, huru-hara juga boleh tercipta disebabkan demokrasi.
Demokrasi boleh mewujudkan dua keadaan berbeza iaitu keamanan dan juga perpecahan. Ia bermakna, kamu berhadapan risiko perpecahan. Tetapi Islam mewujudkan satu keadaan sahaja jika umatnya benar-benar ikut perintah Tuhan mereka, tiada risiko perpecahan kalau taat perintah agama, keadaan itu ialah aman sejahtera.
Tolak segera budaya benci membenci, caci mencaci dan memaki hamun sesama Muslim. Rapatkan saff dan carilah persamaan, bina kekuatan, bangkit dari dalam, bangun dari luar, teguh dari dalam, kuat dari luar, apabila kita bersatu, kita akan kembali gagah.
Bersatunya kita bukan untuk menindas orang lain. Tetapi bersatunya kita adalah untuk mendapat rahmat Allah.
---------
Ada pembaca yang bertanya mengenai pendirian saya terhadap demokrasi. Saya sudah terangkan di dalam perenggan-perenggan di atas. Saya mengaku tidak pernah mengundi, tetapi kamu semua hidup dalam catur demokrasi. Permainan catur itu sudah lama dimulakan, maka bermainlah sehingga menang. Catur-catur yang lain pula juga sama.
Walau bilangan yang tidak keluar mengundi itu sangat ramai sekalipun (sekiranya kamu memilih untuk tidak mahu mengundi), ia tetap satu keputusan yang sah sekiranya parti kafir menang pilihanraya. Kalau orang Islam tidak mengundi, orang kafir pula yang keluar mengundi. Maka, majoriti itu milik mereka dan merekalah yang akan berkuasa dalam catur demokrasi berdasarkan majoriti.
Apa jua pilihan anda dalam demokrasi, pilihlah jalan yang meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya. Umat Terakhir sudah banyak memberi hint kepada kamu semua untuk memilih jalan.
Satu sahaja kata-kata akhir saya untuk anda semua:
“Islam itu diturunkan ke dunia untuk dijadikan pemimpin kepada manusia, bukan menjadi yang dipimpin oleh kafir.”
Saya sayang kamu semua.
-ADMIN-
STALKER
No comments:
Post a Comment