Saturday, 6 July 2013

Kalau mahu berubah

Written by UT: 15 Mar 2012


RAMAI sebenarnya yang mahu berubah menjadi insan yang lebih baik dalam meniti kehidupan ini. Tetapi, ramai juga yang gagal untuk melakukan perubahan kepada diri dalam menuju ke arah kebaikan.

Hati manusia diciptakan suci dan bersih. Kesucian itu masih ada tersisa walaupun telah terlalu banyak melakukan dosa. Walaupun seseorang itu sudah bertahun-tahun tidak mengerjakan solat dan ibadat, namun masih terdetik di hati untuk melakukan sedekah, menolong orang miskin, anak-anak yatim dan lain-lain kebaikan. Jika pernah dan kerap melakukan kebaikan itu walaupun malas beribadat, sila teruskan mengerjakan kebaikan-kebaikan itu. Mengapa kita berkata begitu? Nanti kita beritahu.


Apa yang kita kejar dalam hidup ini? Wang? Harta? Kedudukan? Semua itu tidak boleh dibawa masuk kubur. Kita takut dengan haiwan berbisa seperti kala jengking, ular tedung, lipan, labah-labah dan sebagainya? Takut disengat sehingga mati? Ketahuilah juga bahawa haiwan-haiwan berbisa itulah yang akan menyengat dan menggigit kita di alam kubur andai tidak beribadat di dunia seperti yang diperintahkan-Nya.

Kita tidak tahu mengenai perit siksaan di alam kubur kerana kita juga masih hidup di atas muka bumi, tetapi ketahuilah sekiranya Allah berkehendakkan haiwan-haiwan berbisa itu menyental kita semua di dalam kubur kerana lalai dalam mengerjakan ibadat, maka ia bukanlah sesuatu yang sukar bagi Allah untuk melakukannya.



Ular, kalau ia menggigit, ia akan menggigit sehingga semua bisa dilepaskan masuk ke dalam tubuh kita. Apabila kita melihat seseorang yang digigit ular, maka kita akan melihat betapa ular itu sebenarnya bukan sekali mematuk dan kemudian beredar. Tidak, bukan begitu. Ular hanya akan melepaskan gigitannya apabila ia puas. Ia akan menggigit dengan sangat kuat, kalau cuba ditarik ular itu untuk melepaskan gigitannya, maka kita akan dapati ia seperti menarik seutas tali yang diikat kuat pada tiang. Kalau berterusan ditarik, taring ular itu akan mengoyakkan daging yang digigit. Manakala bisa ular itu akan lebih cepat bergerak ke seluruh tubuh melalui saluran darah. Organ-organ akan rosak akibat kepanasan racun bisa ular. Dalam tempoh 15 minit, itu tempoh kebiasaan yang paling lama, seseorang mangsa akan mati. Itu baru ular berbisa di dunia.

Ular sawa, kalau ia membelit, boleh hancur tulang-tulang dalam tubuh. Kalau ia menumbuk dengan kepalanya, boleh patah tulang rusuk. Kalau ia mengigit, boleh terburai keluar daging. Kalau ia membaham menelan menjadikan kita sebagai makanannya, boleh hancur tubuh akibat panasnya asid penghadaman di dalam perutnya. Itu baru ular sawa di dunia.


Lipan, kalau ia mengigit, ia juga akan menggigit sehingga ia puas. Semasa ia menggigit, ia akan memusing-musingkan badannya. Kesan gigitan pula akan kelihatan seperti lecuran terkena besi panas. Dalam tempoh empat hingga lapan jam, seseorang mangsa boleh mati. Itu pun baru lipan di dunia.


Kala jengking, kalau ia menyengat, ia akan melepaskan bisa sepuas-puasnya. Ia akan mencakar kulit kita dengan kaki-kakinya semasa ia melepaskan bisa. Dalam tempoh lapan jam, boleh maut. Itu baru kala jengking di dunia.


Labah-labah berbisa, kalau ia menggigit, ia akan meronta-ronta semasa ia melepaskan bisa. Semasa ia meronta-ronta melepaskan bisa, kita akan terasa panasnya bisa di tempat yang digigit. Kulit boleh melecur. Dalam tempoh empat jam, boleh mati. Itu baru labah-labah berbisa yang ada di dunia.


Sama juga dengan haiwan berbisa yang lain, haiwan-haiwan itu seperti ‘mengamuk’ apabila ia menyerang manusia, bisa yang dilepaskan ke dalam tubuh akan terasa panas seperti terkena bara api.


Cuba minum air panas, pasti tidak tertelan kalau ia masih belum suam. Dengan air panas pun kita sudah kalah, apatah lagi dengan bisa-bisa haiwan-haiwan itu. Takut dengan haiwan-haiwan itu? Sebaliknya, takutlah kepada Allah Maha Pencipta yang menciptakan haiwan-haiwan itu. Kalau haiwan-haiwan itu sudah cukup mengerikan, ingatlah bahawa siksaan dari Allah jauh lebih tidak terbayangkan.


Kalau kita mendapat siksaan Allah kerana dosa-dosa yang telah dilakukan, tiada orang yang dapat membantu kita lagi. Wanita-wanita cantik atau jejaka-jejaka tampan, artis-artis yang membintangi kaca TV atau panggung wayang yang dikejar di dunia ini, mereka tidak akan datang untuk membantu kita. Wang ringgit emas berlian, itu semua tidak akan setanding dengan syafaat Rasulullah.


Berubahlah menjadi insan yang lebih baik. Mulakan dengan mengerjakan kebaikan. Bersedekahlah kepada orang miskin dan anak yatim yang memerlukan. Teruskan membuat kebaikan. Kita mahu beritahu mengenai kenapa kita perlu melakukan kebaikan walaupun masih malas untuk beribadat bilamana hati sentiasa terdetik untuk berubah.


Amalan yang baik seperti bersedekah, membantu orang miskin dan menghormati orang tua serta mentaati ibu bapa, akan membantu kita melembutkan hati. Ia perkara yang sangat mudah dilakukan, apabila melihat orang miskin atau anak yatim, hulurkan sedekah, kalau hanya ada 20 sen dalam kocek, berikan 10 sen kepada orang itu, bukan susah pun untuk bersedekah. Apabila melihat orang tua, senyumlah kepada mereka, ucapkan tutur kata yang sopan, tunduk sedikit di hadapan mereka sebagai tanda hormat, layanlah mereka seperti ibu bapa anda sendiri tetapi ingatlah batas-batasnya, bukan susah sangat pun. Apabila bersama ibu bapa, peluklah mereka dengan penuh kasih sayang, ciumlah mereka selagi mereka masih hidup dengan penuh kasih sayang, bukan susah sangat pun.


Apabila kita melaksanakan sedekah, berniatlah kerana Allah. Apabila kita menghormati orang tua, berniatlah kerana Allah. Apabila kita melakukan pekara yang menggembirakan ibu bapa, berniatlah kerana Allah. Itulah kuncinya untuk berubah, berniatlah kerana Allah. Jika ingin berubah tetapi masih belum mampu untuk berubah sepenuhnya, lakukanlah amalan kebaikan yang mudah-mudah seperti itu terlebih dahulu dengan niat kerana Allah. Insya-Allah, akan lebih mudah untuk kita berubah. Latih diri untuk lakukan kebaikan-kebaikan itu secara perlahan-lahan walaupun masih malas untuk beribadat mengerjakan tiang-tiang agama dalam rukun-rukunnya.


Dengan melakukan kebaikan yang mudah-mudah itu semua, hati akan lebih mudah untuk menerima lain-lain kebaikan untuk dijadikan amalan soleh. Kesucian yang tersisa di dalam hati akan lebih mudah untuk bercambah mekar. Daripada hanya sebagai sisa kesucian, ia akan bertukar menjadi biji benih, kemudian bertunas di dalam hati, tumbuh sebagai pohon yang membuahkan lebih banyak buah kesucian, buah-buah itu pula menghasilkan lebih banyak benih dan tumbuh lebih banyak tunas dengan izin Allah. Jangan hanya menunggu Allah mencampakkan hidayah ke dalam hati kita, sebaliknya carilah hidayah itu dengan melakukan kebaikan yang mudah-mudah seperti itu.


Ketika kita bersedekah dengan niat kerana Allah, orang yang kita beri sedekah itu akan mendoakan kita. Apabila kita menghormati orang tua dengan niat kerana Allah, orang tua itu juga akan mendoakan kita. Apabila kita menyayangi ibu bapa dengan niat kerana Allah, ibu bapa juga akan mendoakan kita. Itu juga kuncinya.


Rasulullah amat sayang kepada orang miskin dan anak yatim, lakukanlah kebaikan kepada mereka. Rasulullah amat menghormati orang tua-tua, lakukanlah kebaikan kepada mereka yang lebih tua. Rasulullah berpesan supaya mentaati ibu bapa, lakukanlah kebaikan kepada mereka. Apabila kita melakukan perkara yang disukai Rasulullah, insya-Allah kita akan dapat berubah. Bukan susah untuk melakukan kebaikan kepada golongan-golongan yang disebutkan tadi, orang tua, anak yatim, orang miskin dan ibu bapa, lakukanlah segera kebaikan kepada mereka.


Apabila hati sudah mula terasa aman sedikit selepas rajin melakukan kebaikan kepada golongan itu, maka teruskan lagi, jangan pernah berhenti. Kalau hanya tinggal 20 sen di dalam poket, berilah 10 sen kepada mereka yang memerlukan. Kalau sudah tiada lagi wang di dalam saku, lakukanlah lain-lain kebaikan yang dapat menggembirakan mereka. Kalau ada minyak wangi di dalam saku, sapulah sedikit di tubuh mereka, itu pun kebaikan juga. Kalau langsung tiada wang, tiada minyak wangi, tiada apa-apa pun milik kita yang boleh diberikan kepada mereka, berilah tenaga kita untuk membantu mereka mengerjakan apa yang sedang mereka kerjakan pada masa itu asalkan ia tidak bertentangan dengan perintah Allah, itu pun kebaikan juga.


Kalau mahu berubah, lakukanlah kebaikan-kebaikan itu semua sebagai titik permulaan. Insya-Allah, kita akan lebih mudah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Tetapi dalam masa yang sama, berusahalah untuk menjauhkan diri daripada perkara yang dimurkai Allah. Hidayah itu perlu dicari, bukan menunggu ia dicampakkan datang bergolek kepada kita. Carilah hidayah itu dengan membantu anak yatim, orang tua, orang miskin dan ibu bapa. Jangan berasa susah untuk melakukan perkara yang mudah-mudah seperti itu.


Bilamana terasa mahu melakukan perkara yang salah seperti minum arak, berzina dan sebagainya, ingatlah kepada siksaan-siksaan yang akan menunggu kita nanti. Pasangan zina itu tidak akan membantu kita semasa diberi balasan siksa oleh Allah, rakan mabuk yang minum arak bersama kita itu juga tidak akan membantu, semua itu tidak akan membantu. Apa yang membantu ialah amal jariah dan amalan kebaikan yang kita lakukan. Belanjakanlah harta di jalan yang ada kebaikan.


Apabila mengejar harta kekayaan, belanjakanlah ia di jalan kebaikan. Gunakan harta itu untuk memberi banyak ‘bonus’ kepada kita di alam kekal nanti. Emas itu semua, bukan untuk dibawa ke kubur dan akhirat. Tetapi kalau emas itu digunakan untuk berbelanja ke jalan Allah, insya-Allah ‘nilai’ emas itu yang dibelanjakan ke jalan Allah sahaja akan dibawa ke akhirat. Jangan asyik kumpul emas, tetapi lebih wajar kalau belanjakan hasil emas itu ke jalan Allah, zakat emas sebagai contohnya.


Tidak susah untuk melakukan kebaikan yang mudah-mudah itu semua. Mulakan ia hari ini, mudah-mudahan hati kita akan lebih mudah untuk mengerjakan lebih banyak kebaikan. Hati yang masih ada sisa kesucian itu wajar dibenihkan dengan perkara-perkara kebaikan, semoga sisa dari buah iman yang mereput itu akan keluar tunas dari biji benih yang sudah lama terpendam bersama sisa-sisa kesucian. Tumbuhnya tunas itu akan mengeluarkan pohon yang rendang nyaman, mengeluarkan lebih banyak buah dan di dalam buah itu terdapat lebih banyak biji benih yang juga akan mengeluarkan tunas-tunas baru. Bunga-bunga dari pohon itu akan mengharumkan hati dan jiwa. Wangian-wangian dari bunga-bunga itu akan mengusir segala syaitan yang beraja di hati.


Kalau tidak mampu membuat kebaikan dengan wang ringgit yang banyak untuk membantu orang yang memerlukan, melakukan kebaikan dengan menyapu minyak wangi ke tubuh orang lain juga adalah satu perkara kebaikan. Pakailah minyak wangi, sapulah ia ke tubuh orang lain, ia kerana iblis dan syaitan amat benci kepada wangi-wangian.




Lakukanlah kebaikan yang mudah-mudah terlebih dahulu, semoga kita akan lebih mudah untuk kembali ke jalan-Nya yang lurus.





Bukan susah sangat pun... : )







-UMAT TERAKHIR-



No comments:

Post a Comment